BERITA

PAS, jangan kacau PKR di Penanti

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Mei 2009, 8:32 pagi

Mursyidul am PAS berkata beliau tidak mahu anggota parti itu membuat kacau dan membelakangi perjanjian dengan sekutunya dalam Pakatan Rakyat dengan menuntut PAS meletakkan calon pada pilihanraya kecil DUN Penanti.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga menteri besar Kelantan, berkata PAS perlu berpegang pada janji yang dibuat dengan PKR berhubung pengagihan kerusi pilihanraya yang dibuat sebelum ini, lapor Bernama .

"Kalau itu kawasan PKR, hak dialah. Kita kena balik kepada perjanjian. Kita orang Islam pentingkan janji, jangan buat kacau, janji mesti sempurna.

"Macam di Kelantan, kita ikut perjanjian. Kita beri (kerusi) kepada PKR, dia nak menang ke, kalah ke, itu dia punya pasallah," beliau dipetik berkata di kediaman beliau di Pulau Melaka hari ini.

Nik Abdul Aziz mengulas desakan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Hafiz Mohd Nordin supaya pimpinan parti itu menimbangkan untuk meletak calon PAS bertanding di DUN Penanti.

Kerusi itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas timbalan satu ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin, 16 April lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 23 Mei dan hari pengundian 31 Mei.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi

pendirian parti itu untuk menyokong calon PKR Mansor Othman dan keputusan itu adalah muktamad.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor, antaranya, PKR telah bertanding di kawasan berkenaan pada pilihanraya umum tahun lepas dan memenanginya.

BN akan memutuskan hari ini, sama ada akan bertanding atau tidak pada pilihan raya kecil kali ini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.