Panduan sebar 1Malaysia 'elak polemik parah'
Bagi mengelakkan wawasan perdana menteri 1Malaysia menjadi "polemik lebih parah", Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan sediakan panduan mengenai konsep itu ketika berucap.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Jamil Khir Baharom berkata, kepimpinan negara memerlukan garis panduan khusus agar ucapan mereka dapat difahami rakyat, lapor Bernama .
Tambahnya, sehingga kini rakyat belum dapat memahami konsep tersebut secara mendalam kerana matlamat dan gagasan 1Malaysia sering diputar belit pihak tertentu untuk kepentingan sendiri.
"Sebelum konsep ini dipolemikkan dengan lebih parah oleh pihak-pihak
berkepentingan, kita perlu menyediakan panduan supaya gagasan ini dapat diperjelaskan dengan lebih terperinci agar ia berupaya membangunkan agama, bangsa dan negara," Jamil Khir dipetik berkata selepas perasmian sidang meja bulat mengenai 1Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.
Garis panduan itu - yang akan dirangka berdasarkan resolusi persidangan tersebut - akan diedarkan dalam buku kecil ke seluruh negara, katanya lagi.
"Kita mahu konsep, falsafah dan hala tuju gagasan 1Malaysia yang
diketengahkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dapat diselami dan difahami secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat," katanya.
Persidangan sehari itu dihadiri oleh Timbalan Menteri di JPM Datuk Dr Mashitah Ibrahim, ketua pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, penasihat agama perdana menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin, bekas penasihat Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Muhammad Uthman Al-Muhammady.

