BERITA

Sivakumar adu kekerasan di DUN Perak

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Mei 2009, 7:46 pagi

V Sivakumar, Speaker DUN Perak yang digugurkan, hari ini membuat aduan polis berhubung kekecohan dan "pencerobohan polis" di persidangan DUN Perak semalam.

Diiringi beberapa ADUN Pakatan Rakyat negeri itu, beliau tiba di ibu pejabat polis daerah Ipoh kira-kira 11.30 pagi tadi, sejurus selepas sidang media di pejabat DAP Perak.

Dalam aduannya, Sivakumar berkata sepuluh ADUN - termasuk menteri besar BN Datuk Seri Zambry Abd Khadir dan enam exconya - telah "mengengkari arahannya" melarang mereka memasuki dewan.

"Saya juga mengumumkan selagi sepuluh orang ini tidak meninggalkan dewan, sidang dewan tidak akan bermula. Bagaimanapun, sepuluh orang ini telah mengengkari arahan saya sebagai speaker.

"Malahan mereka membuat kecoh di dalam dewan dengan cuba mengemukakan usul walaupun sidang dewan belum bermula lagi," laporan polis itu dipetik.

Tindakan sekumpulan polis dan "beberapa lelaki yang disyaki sebagai samseng luar tanpa pas" memasuki dewan "tanpa kebenaran dan pengetahuan" beliau turut dinyatakan dalam laporan polis tersebut.

"Walaupun saya telah cuba sedaya upaya memberi amaran (supaya) jangan berlaku kekerasan dan jangan menghalang saya menjalankan tugas (sebagai Speaker), sekumpulan lelaki tersebut telah mencekik leher saya dan mengheret badan saya sampai ke atas lantai.

"Dan saya dibawa keluar (dari) dewan negeri dengan penuh kekerasan," katanya dalam laporan itu, sambil menambah beliau kemudiannya dikurung selama sejam selepas itu.

Kekecohan itu juga, tambah Sivakumar, menyebabkan beberapa ADUN - antaranya Thomas Su (Pasir Pinji), Seah Leong Peng (Pasir Bedamar) dan Chang Lih Kang (Teja) - mengalami kecederaan.

Selain itu, ADUN Jelapang Hee Yit Fong juga didakwa menyembur bahan pemedih mata terhadap ADUN Aulong Yaw Tian Woh.

"Berdasarkan kepada fakta di atas, saya mendapati mereka yang terlibat dalam kejadian (yang disebut) di atas telah melanggar Seksyen 124 dan 323 Kanun Keseksaan dan undang-undang lain.

"Dan dengan ini saya datang meminta pihak polis mengambil segala tindakan undang-undang yang wajar supaya membela kedaulatan undang-undang negara dan menegakkan keadilan," adunya lagi kepada polis.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.