Most Read
Most Commented
Read more like this

Mula-mula saya benar-benar tertarik dengan kisah Lockerbie dan pengeboman kapalterbang PanAm 103 semasa membaca majalah akhbar The Guardian , London pada 1994, lebih kurang.

Menarik sekali bacaan itu - penuh dengan segala macam perkara pelik. Dengan perkataan lain, penuh dengan teori konspirasi dan watak utama yang terdiri daripada berbagai-bagai badan perisikan Amerika Syarikat (AS), Britain, dan tentu saja termasuk Mossad, badan perisikan Israel.

Negara tertuduh pula terdiri daripada Libya, Iran dan Syria. Sebelum membaca majalah itu, menurut berita televisyen, radio dan juga akhbar umumnya yang bersumberkan kerajaan Britain atau AS, saya dapati cuma dua rakyat Libya yang dikatakan bersalah.

Pada 31 Januari 2001, akhirnya tercatatlah sejarah. Seorang rakyat Libya, Abdelbaset Ali Mohmed al-Megrahi, didapati bersalah oleh mahkamah Scotland, yang menjalankan perbicaraan di Belanda, kerana mengebom kapalterbang itu di ruang udara Lockerbie, Scotland.

Rakan senegaranya, Al Amin Khalifa Fhimah, yang turut dituduh, didapati tidak bersalah. Pengeboman PanAm 103 yang berlepas dari Frankfurt (Jerman) melalui Heathrow (England) ke New York (AS) pada 21 Disember 1988 menyebabkan 270 orang terbunuh. Selepas 13 tahun, sudahkah keadilan dan kebenaran ditemui?

Biasanya teori konspirasi didapati daripada buku cerita atau filem, misalnya Conspiracy Theory (lakonan Mel Gibson dan Julia Roberts) atau Enemy of the State (Will Smith dan Gene Hackman). Tetapi bagi saya, dan ramai lagi, kes Lockerbie adalah konspirasi di dunia sebenar.

Menurut tuduhan AS dan Britain, Megrahi dan Fhimah telah meletakkan bom di dalam sebuah radio jenama Toshiba yang dimuatkan di dalam sebuah beg. Beg ini dimasukkan dalam penerbangan Malta Air 180, tanpa diiring penumpang, di lapangan terbang Valetta, Malta.

Mesej palsu Mossad di Libya

Penerbangan itu menuju Frankfurt dan kemudian bom itu dipindahkan pula ke PanAm103 yang menuju London. Di kota ini, ia di pindahkan pula untuk penerbangan yang sama ke New York. Bom itu dijadualkan dan akhirnya meletup di Lockerbie.

Bagaimanapun Malta Air telah menafikan terdapatnya beg tanpa iringan dalam Malta Air 180. Apabila televisyen Granada di Britain menyiarkan tuduhan yang sama, Malta Air telah menyamannya dan memenangi kes itu.

Seorang operator mesin 'sinar X' PanAM di Frankfurt, dalam keterangannya di mahkamah, menyatakan dia diarah untuk mencari beg mengandungi radio tetapi mendapati tiada beg sedemikian. Malah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS dalam dokumen yang diperolehi pada 1995 menyatakan tiada beg sedemikian yang dipindahkan dari Malta Air 180 ke PanAm103.

Libya dituduh mengebom PanAm103 kerana membalas dendam terhadap pengeboman ke atas Benghazi dan Tripoli pada 14 April 1986 atas arahan Presiden Reagan, dengan bantuan Britain, yang menyebabkan kematian 37 (ada berita menyebutkan 100 orang) rakyat Libya, termasuk anak angkat ketua negara itu, Muammar Qadafi, yang berumur dua tahun.

Reagan pula berbuat demikian untuk membalas dendam kerana menuduh Libya mengebom satu disko di Berlin 5 April 1986 yang menyebabkan dua orang askarnya terbunuh. Perisikan Jerman bagaimanapun mendapati pengeboman disko ini dilakukan oleh sekumpulan orang Iran yang menetap di Berlin.

Reagan, yang sangat bencikan Qadafi kerana tidak mengikut telunjuk AS (seorang lagi mestilah Fidel Castro, yang mungkin sama kuat dibenci Reagan, dan pentadbiran AS amnya), membuat tuduhan tanpa periksa berdasarkan mesej palsu yang dikeluarkan oleh Mossad.

Menurut Victor Ostrovsky, bekas pengintip Mossad yang berpangkat kolonel dan kini memiliki kerakyatan Kanada, dalam bukunya The Other Side of Deception (tajuk ini berdasarkan motto Mossad, 'by way of deception', yang juga tajuk bukunya sebelum itu), Mossad telah memasang pemancar isyarat radio di Tripoli (di dalam Libya sendiri!).

Mesej palsu dari pemancar ini menyatakan tentang 'kejayaan' operasi Berlin. Mossad sedar mesej ini akan dipintas oleh perisikan AS. Kasihan Libya, yang tidak selicik Mossad, menerima padahnya!

Seperti kes Berlin, dalam kes Lockerbie, sekali lagi perisikan AS memintas suatu mesej yang juga berasal dari Tripoli ke pejabat kerajaan Libya di Berlin pada 22 Disember 1988, iaitu sehari selepas pengeboman PanAm 103. Mesej ini menyatakan bahawa "operasi telah berjaya."

PM Britain sendiri tidak percaya

Ostrovsky, berdasarkan tanda-tanda mesej itu, menjelaskan isyarat ini adalah kerja Mossad. Dalam kedua-dua kes pengeboman itu, Ostrovsky percaya bahawa Israel memindahkan pandangan daripada Iran kepada Libya untuk menggalakkan Iran memberikan layanan yang lebih baik kepada rakyat Iran berketurunan Yahudi. Sebab lain mungkin kerana Libya sangat anti-Israel.

Adakah pentadbiran AS dan Britain sendiri percaya dengan tuduhan terhadap Libya itu? Nampaknya tidak. George Bush Sr (versi tua), yang mengambil alih jawatan presiden selepas Reagan, daripada laporan yang boleh dipercayai, telah memberikan amaran kepada Margaret Thatcher, semasa masih Perdana Menteri Britain, supaya tidak terlalu menekankan penglibatan Libya dalam kes Lockerbie.

Malah lebih menghairankan, jika pihak Inggeris percaya penglibatan Libya dalam kes itu, mengapa pula Thatcher menulis dalam bukunya The Downing Street Years (1993): "Balas dendam dari Libya yang diheboh-hebohkan itu tidak berlaku dan tidak boleh berlaku. Walaupun Qadafi tidak dimusnahkan tetapi dia telah dimalukan. Selepas itu [pengeboman terhadap Libya], keganasan yang ditaja oleh Libya telah banyak berkurangan."

Jadi Thatcher sendiri, yang menjadi Perdana Menteri Britain semasa pengeboman Lockerbie dan menulis hal itu pada 1993, ketika tuduhan AS dan Britain terhadap negara Afrika itu sudah sekian lama dihebohkan ke seluruh dunia, tidak mempercayai Libya terlibat.

Begitu juga nampaknya Bush Sr (si versi tua yang tahap otaknya mungkin baik sedikit daripada si versi muda sekarang, yang menjadi presiden baru AS, walaupun dianggap lembap, dengan sokongan 'perniagaan besar' dan media kawalan mereka).

Tidak menghairankan kita, ada satu pihak lagi yang berminat untuk membalas dendam terhadap AS - Iran. Pada 3 Julai 1988 kapal perang AS, Vincennes, yang menyibuk di Teluk Parsi dan bertindak sebagai satu-satunya polis dunia, telah menembak kapalterbang Iran yang membawa penumpang haji ke Mekah.

Semua 290 penumpang di dalamnya terbunuh. Mengikut 'versi rasmi pertama' dari AS dan Britain, sebelum 'versi rasmi kedua' yang mengalihkan tuduhan kepada Libya, Tehran telah mengupah satu kumpulan Palestin, Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin-Pasukan Am (PFLP-GC) di bawah pimpinan Ahmad Jibril, untuk mengebom PanAm 103.

Pasukan ini berpecah daripada kumpulan asal PFLP pimpinan George Habash dalam tahun 1968. PFLP-GC berpangkalan di Syria dan mempunyai hubungan baik dengan Iran. Syria adalah satu-satunya negara Arab yang menyokong Iran dalam sengketanya dengan Iraq ketika itu.

Syria dan Iran dipujuk

Pada 20 September 1989, The Times , London melaporkan "pegawai keselamatan Britain, AS, dan Jerman Barat berpuas hati sepenuhnya bahawa PFLP-GC" yang melakukan jenayah itu. Pada Disember pula, para penyiasat dari Scotland melaporkan bahawa mereka mempunyai 'bukti kukuh' tentang penglibatan PFLP-GC.

Pandangan ini berubah apabila Iraq menceroboh Kuwait. Pada 1990, AS dan Britain sedang cuba mengumpul penyokong untuk menyerang Iraq, selain cubaan Bush menangkis imejnya sebagai ' wimp ', demi menjamin kawalan Barat terhadap minyak Kuwait - walaupun mereka dengan begitu berprinsip sekali menyatakan tujuan mereka adalah untuk menegakkan hak Kuwait daripada diceroboh.

Antara negara yang berjaya dipujuk AS dan Britain adalah Syria dan Iran. Dua negara itu tidak membantah. AS dan Britain juga perlu bantuan Iran untuk mendapatkan pembebasan rakyat mereka yang ditahan di Lebanon oleh kumpulan Hizbullah yang rapat dengan Iran.

Pada Oktober 1990, versi rasmi kedua tiba-tiba muncul. Oppss, silap, bukan pakatan PFLP-GC dengan Iran dan Syria, tetapi Libya sebenarnya; demikian dunia diberitahu oleh AS dan sekutunya, Britain. Secara kebetulan, Libya adalah negara rantau itu yang paling kuat menyokong Iraq dan menentang rancangan menyerang Iraq.

Sejurus kemudian tebusan AS dan Terry Waite dari Britain dibebaskan, dan hubungan diplomatik Britain dengan Syria pula dipulihkan. Maka, pada tahun 1991 bermulalah serangan terhadap Iraq. Dan bermulalah pula igauan ngeri Libya.

Pada 14 November tahun itu, AS dan Britain secara rasmi menyalahkan Megrahi dan Fhimah serta memberi amaran agar dua rakyat Libya itu diserahkan kepada mereka. Kerana tiada perjanjian ekstradisi antara negara Barat itu dengan Libya, mengikut undang-undang antarabangsa, Libya tidak perlu menyerahkan rakyatnya.

Lagipun menurut Libya, jika itu kehendak AS dan Britain, negara kuasa besar itu pula mestilah menghantar juruterbang-juruterbang AS yang terlibat mengebom Libya semasa pentadbiran Reagan. Bagaimana pula dengan penjenayah di kapal USS Vincennes yang menembak kapalterbang awam Iran itu?

Bahagian 2 dan akhir diterbitkan Isnin


Dr ROSLI OMAR, seorang ahli akademik yang paranoid, terbayang konspirasi di mana-mana. Pada sebahagian kecil otaknya yang masih agak waras itu, beliau berminat tentang isu-isu keadilan, sama ada keadaan sosial setempat mahupun antarabangsa.

ADS