Majlis sambutan ulang tahun penubuhan Umno kali ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara malam tadi dilihat 'agak muram' ekoran keputusan mahkamah yang mengisytiharkan Datuk Sri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Sebelum ini, Menteri Besar BN, Datuk Seri Dr Zambery Abdul Kadir telah menyandang jawatan tersebut selama kira-kira dua bulan.

umno 63 anniversary dinner 110509 03 Selain itu, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga tidak kelihatan di majlis tersebut.

Dr Zambery juga tidak hadir dan difahamkan beliau bergegas ke Ipoh sebaik sahaja keputusan mahkamah tersebut diumumkan.

Walaupun, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin veteran hadir tetapi suasana di dalam dewan merdeka yang menjadi tempat jamuan, tidak menampakkan kemeriahannya.

Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap merasmikan sambutan tersebut ada yang tertanya-tanya mengenai ketiadaan Abdullah di majlis tersebut.

'Bukan penghujung jalan'

Dalam ucapannya, Najib turut menyentuh tentang keputusan mahkamah berhubung kemelut politik di Perak.

umno 63 anniversary dinner 110509 02 Katanya, majlis sambutan tersebut dicemari dengan keputusan mahkamah tersebut.

Katanya, sebelum ini mahkamah telah mengharamkan Umno tetapi bangkit dan membina Umno yang baru.

"Kita menang dua kes mahkamah, kita kalah satu. Ia bukan penghujung jalan.

"Saya dan rakan-rakan dalam MT akan fikir semula apa jalan terbaik kepada Umno dan BN. Kita tidak akan patah semangat," tambahnya.

Dalam ucapannya, Najib banyak menyentuh mengenai konsep 1 Malaysia yang diperkenalkannya itu.

Perdana menteri berkata, 1 Malaysia berpaksi kepada perlembagaan dan rukun negara dan realiti kepada masyarakat majmuk negara.

"Datuk Onn (Jaafar) telah cuba membuka pintu Umno kepada kaum-kaum lain tetapi tidak berjaya.

'Solat hajat'

"Tunku Abdul Rahman telah menubuhkan Perikatan berdasarkan kebersamaan, ayahanda saya Tun Razak (Hussein) membesarkan lagi Perikatan kepada BN.

"Tun Dr Mahathir pula membuat lontaran dengan konsep Bangsa Malaysia dan Tun Abdullah dengan visi nasional," katanya.

Di majlis tersebut Najib menyampaikan anugerah Melayu terbilang kepada tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mukhtar Al Bukhari.

Sebelum itu, perdana menteri dan ahli Umno lain menghadiri majlis solat hajat dan bacaan Yasin.

Beberapa pemimpin komponen BN iaitu Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, turut hadir di majlis tersebut.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS