Hisham: JB bukan sarang pengganas
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Johor Bahru bukan tempat perlindungan pengganas.
"Itu hanya persepsi orang. Saya orang Johor...," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Beliau diminta mengulas penangkapan Ketua Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari, di Kampung Tawakal, Skudai, baru-baru ini.
Mas Selamat yang dikatakan mahir menggunakan senjata dan membuat bahan letupan, didakwa merancang merampas kapalterbang di Bangkok dan menghempaskannya di Lapangan Terbang Changi dalam satu serangan pengganas.
Dia berjaya meloloskan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road, dan kemudiannya dilaporkan berenang sejauh satu kilometer merentasi Selat Tebrau pada waktu malam daripada Woodlands ke Stulang Laut di Johor Bahru.
Sebagaimana yang dilaporkan Bernama sebelum ini, setibanya di Stulang Laut, Mas Selamat menemui Abdul Matin Anol Rahmat di Ulu Tiram dan Johar Hassan yang tinggal di sebuah perkampungan di Skudai, Johor Bahru.
Abdul Matin ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di rumahnya di Ulu Tiram, Johor pada 1 April - hari yang sama Mas Selamat ditahan bawah akta sama - berhubung siasatan mengenai JI.
Kaji akta
Abdul Matin mengikut jejak menantunya Zaini Zakaria yang meringkuk di kem tahanan Kamunting, Perak selama lima tahun sehingga 13 Februari lalu.
Johar juga didakwa ditahan bawah akta yang sama tetapi sehingga kini tiada maklumat lengkap diperolehi.
Agus Salim yang berasal dari Medan, Indonesia pula ditahan di sebuah restoran tempatnya bekerja di Larkin, Johor pada 5 Mac.
Mengulas penangkapan Mas Selamat, menteri dalam negeri berkata polis telah melakukan kerja yang baik dan telah menukar persepsi orang ramai terhadap pasukan tersebut.
Sementara itu, Hishammudin berkata, kementeriannya akan mengkaji semula undang-undang lapuk sedia ada.
"Akta yang dilihat sensasi sekarang ialah ISA, akan dikaji semula.
"Banyak akta yang tidak sesuai perlu dipinda dan seterusnya dimansuh," katanya.
Kedudukan RELA
Ketika ditanya akta-akta tersebut, Hishamuddin berkata, beliau tidak boleh memberitahunya kerana belum bermesyuarat lagi.
Bagaimanapun, katanya, beliau telah menugaskan pihak polis, pasukan RELA dan imigresen untuk melihat akta yang tidak sesuai itu.
"RELA ditubuhkan semasa darurat, tak ada akta, ada peraturan sahaja.
"Tak kan RELA hendak disuruh kejar PATI (pendatang haram tanpa izin) sahaja," katanya.
Hishamuddin juga mengumumkan Malaysia dipilih sekretariat tetap polis ASEAN (Aseanpol) hasil persidangan ketua-ketua polis Asean di Brunei 31 Mei tahun lalu.
Penubuhan sekretariat tetap itu, katanya, dipersetujui dalam mesyuarat kabinet pagi tadi.
Beliau berkata, bidang tugas Aseanpol itu akan diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

