Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes pertama flu A(H1N1) di Malaysia
Diterbitkan:  May 15, 2009 1:40 PM
Dikemaskini: 12:12 PM

kemaskini 8.12pm Seorang pelajar 21 tahun mangsa pertama disahkan positif dijangkiti wabak influenza A(H1N1) atau selesema babi - kes pertama di Malaysia, demikian diumumkan oleh Kementerian Kesihatan hari ini.

"Kementerian ingin memaklumkan mengenai satu kes yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan telah disahkan positif influenza A(H1N1) melalui ujian makmal yang dilakukan hari ini," kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

"Ia merupakan kes yang pertama influenza A(H1N1) dikesan di Malaysia."

Pelajar itu, yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada Rabu lalu, mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalam

dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.

ismail merican "Beliau telah diberi rawatan antivirus dan berada dalam keadaan stabil," kata Dr Mohd Ismail dalam satu kenyataan di laman web rasmi kementerian berkenaan.

Kementerian telah mengambil tindakan pencegahan dan kawalan termasuk penyiasatan perhubungan mangsa dengan orang lain, termasuk ahli keluarganya dan penumpang serta anak kapal penerbangan MH 091 dari Newark, USA yang tiba di lapangan terbang KLIA pada 7.15 pagi kelmarin.

Menurut kenyataan itu lagi, kementerian meminta semua klinik dan hospital swasta agar sentiasa merujuk segera kes-kes mereka yang baru kembali dari negara yang dilanda wabak tersebut dan mengalami gejala-gejala seperti demam dan salah satu daripada gejala berikut - batuk, susah bernafas, sakit badan, sakit kepala atau sakit tekak - ke hospital-hospital rujukan yang telah ditetapkan.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi, selain kes di atas, Pusat Tindakan dan Persiapan Krisis (CPRC) kementerian menerima 11 lagi notifikasi kes - enam kes dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Sungai Buloh, dua di hospital Seremban dan masing-masing satu kes di hospital Ipoh, Hospital Pulau Pinang dan hospital Kota Bharu bagi

tujuan siasatan dan pemerhatian.

Sehingga 8 pagi tadi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan satu lagi negara baru terjejas dengan influenza A (H1N1) iaitu Belgium yang melibatkan satu kes menjadikan

jumlah keseluruhan negara terlibat menjadi 34 buah.

Kes terkumpul di serata dunia sebanyak 7,457 kes disahkan oleh ujian makmal dengan peningkatan sebanyak 1,378 kes berbanding dengan laporan pada hari sebelumnya, kata kementerian lagi.

Peningkatan ini dilaporkan di enam buah negara iaitu di Amerika Syarikat (946 kes), Mexico (387), Kanada (31), Panama (10), Colombia (3) dan Belgium (1).

Dua lagi kematian dilaporkan di Mexico, menjadikan keseluruhan kematian kepada 65 orang.

WHO masih lagi mengekalkan tahap amaran influenza pandemik di

Fasa 5 sejak 29 April dan tidak menyarankan sebarang tindakan sekatan perjalanan, perdagangan serta penutupan sempadan bagi

perlindungan kesihatan antarabangsa.

Kementerian Kesihatan memanggil satu sidang media khas berhubung perkara ini di Putrajaya jam 3 petang tadi.

Dalam kenyataan yang sama, Dr Mohd Ismail berkata tiada risiko mendapat jangkitan influenza A(H1N1) jika daging atau produk babi disediakan dan dimasak secara betul.

"Kementerian Kesihatan ingin menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang dengan situasi influenza A(H1N1) di negara ini.

"Kementerian dengan kerjasama semua agensi terlibat sentiasa meningkatkan pemantauan situasi influenza A(H1N1) dalam memastikan tindakan proaktif diambil bagi melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pemangku Menteri Kesihatan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata kementerian mengkuarantin rumah kesemua lima anggota keluarga pesakit itu walaupun tiada antara

mereka yang menunjukkan sebarang simptom setakat ini, lapor Bernama .

Tambahnya, mereka yang mempunyai hubungan langsung dengan pesakit itu termasuk kakitangan hospital yang memeriksanya turut diletakkan bawah pemerhatian.

ADS