ADUN PAS kembali ke rahmatullah

   

kemaskini 6.38pm ADUN Manek Urai, Ismail Yaacob menghembuskan nafas terakhir subuh hari ini akibat sakit jantung setelah dimasukkan ke hospital sejak akhir bulan lepas.

Allahyarham, juga timbalan yang dipertua PAS kawasan Kuala Krai, meninggalkan isteri Siti Zaharah Ibrahim dan 10 orang anak.

Ismail, 60, pada awalnya dilaporkan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II sejak 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kaki.

ismail yaacob al fatihah Allahyarham antara ADUN yang paling lama berkhidmat di Kelantan sejak memenanginya pada pilihanraya umum 1986.

Kecuali pada 2004, allahyarham sudah lima penggal dipilih mewakili kawasan tersebut - bawah parlimen Kuala Krai yang kini diwakili bendahari PAS Dr Hatta Ramli.

Sewaktu beliau tidak bertanding, calon PAS Mohd Zamzuri Mat Lazim tewas tipis di tangan calon BN Zulkepli Omar dengan 53 undi.

Dalam pilihanraya umum lalu, Ismail menang dengan majoriti 1,352 undi (lihat carta di bawah) .

Jenazah allahyarham dibawa ke rumahnya di Manek Urai Lama dan disembahyangkan di sebuah masjid dengan diimamkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kira-kira 2,000 orang menziarahi dan turut menyembahyangkan jenazah Ismail sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Manek Urai Lama selepas solat Jumaat.

Ketika menziarahi jenazah tersebut, Speaker DUN Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud berkata beliau akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan kerusi itu, Isnin ini.

Tambahnya, laporan itu dibuat awal minggu depan kerana hari ini dan

esok merupakan cuti umum bagi Kelantan, sementara Ahad cuti hujung minggu di Kuala Lumpur.

bm version kerusi dun manek urai 220509 SPR akan bermesyuarat Khamis depan untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN tersebut, lapor Bernama .

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata mesyuarat diadakan pada hari berkenaan jika surat makluman daripada DUN Kelantan diterima awal minggu depan.

"Mesyuarat dijangka bermula pada 10 pagi dan SPR akan memaklumkan pada hari sama mengenai tarikh penamaan calon dan hari pengundian," katanya.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur pagi ini, pengarah pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali berharap "Umno tidak meletakkan calonnya" seperti pada pilihanraya kecil DUN Penanti yang akan bermula Sabtu ini.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan bahawa BN akan bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut - pendirian yang sama dikongsikan oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malaysiakini
terkini untuk anda