Penulis blog popular Raja Petra Raja Kamaruddin tidak hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini bagi menghadapi perbicaraan kes menerbitkan kata-kata hasutan dalam blognya.
Raja Petra, 59, yang didakwa menerbitkan kata-kata itu http://www.malaysia-today.net, juga tidak hadir pada 23 April lalu bagi sambungan perbicaraan kes fintah sehingga waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
Hakim Aslam Zainuddin yang mengendalikan kes bagi pihak Hakim Rozina Ayob, kemudian memutuskan kes itu ditangguh sehingga 17 Julai ini, lapor Bernama .
Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya, Shah Rizal Abdul Manan memaklumkan kepada mahkamah bahawa waran tangkap yang dikeluarkan pada 23 April lalu, gagal diserahkan kepada Raja Petra.
Shah Rizal berkata, notis tunjuk sebab ketidakhadiran penjamin - yang juga isteri tertuduh Marina Lee Abdullah - juga gagal disempurnakan.
Peguam belanya, J Chandra memohon supaya mahkamah menangguhkan kes tanpa menetapkan sebarang tarikh sehingga polis berjaya menahannya.
Bagaimanapun, Aslam berkata, tarikh baru perlu ditetapkan memandangkan beliau hanya menyebut bagi pihak Rozina.
Pada 23 April lalu, Rozina memerintahkan waran tangkap
dikeluarkan terhadap Raja Petra berikutan kegagalannya hadir di mahkamah.
Raja Petra, menerusi Malaysia Today , mengemukakan beberapa alasan mengenai ketidak hadirannya - antaranya sebagai kerabat Selangor, penulis blog itu memutuskan untuk keluar dari Selangor selaras dengan hukuman buang negeri ke atasnya kerana dianggap menderhaka kepada Sultan.
Raja Petra didakwa menerbitkan artikel "Let's Send Altantuya Murderers To Hell" yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web tersebut.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di No 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, pada 25 April tahun lalu.
