Majlis perundingan ulama perlu bebas unsur politik

comments     Nash Rahman     Published     Updated

Sebarang usaha untuk menghimpun ulama yang berwibawa perlulah dilakukan mengikut kriteria yang betul tanpa sebarang unsur-unsur politik, kata seorang pendakwah bebas Ustaz Muhammad El Muhammady.

Usaha itu dialu-alukan demi mencari penyelesaian dalam umat. Sebaik-baiknya penganjur hendaklah pihak yang dipandang bersikap berkecuali supaya usaha itu berkesan, katanya hari ini ketika diminta mengulas cadangan kerajaan menubuhkan menubuhkan Majlis Perundingan Ulama Malaysia.

Ustaz Muhammad yang juga merupakan Fellow kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berkata perkara yang paling mendesak sekarang ialah memadu tenaga cendiakawan dan ulama - rohani dan moral - secara tetap dan berterusan seolah-olah diinstitusikan bagi mendapat manfaat semaksima.

Usaha berterusan yang diperlukan ialah mengadakan dialog dan permesyuaratan, dan bukan jalan saman-menyaman, yang menjadi budaya di Barat. Akhirnya, dengan mengambil kira ini semua dengan izin tuhan, keadaan dan suasana ini tidak terkeluar dari kendali kita, katanya.

Menurutnya, juga penting ialah membina budaya yang kehendaki dan bagi mengelak budaya konflik dan konfrantasi ulama-cendiakawan yang banyak berlaku dalam beberapa negara Islam sekarang.

Dalam Islam, ulama, dari segi realiti ajaran dan sejarah, diakui mempunyai fungsi dan kedudukan membimbing umat dan membantu dan mengawal agama. Sumbangan mereka ini diakui termasuk oleh saujana Barat seperti yang tertera dalam buku Knowledge Triumph karangan Franz Rosenthal.

Dengan itu, kalau ada apa-apa yang perlu disampaikan untuk membantu mereka menjalankan fungsi secara lebih berkesan, ia hendaklah disampaikan secara proaktif dan berdisiplin mengikut etikanya, bukan secara merendah atau meremehkan sesiapa dengan sikap lebih tahu.

Sikap bekerjasama dan hormat-menghormati adalah yang terbagus, kata Ustaz Muhammad yang sering diundang memberi ceramah agama di dalam dan luar negara.

Elakkan perangkap

Begitu juga sebaliknya, kata beliau, jika ada unsur-unsur yang melanggar tatasusuila atau adab dalam perbicaraan lisan atau tulisan, maka perlu dilakukan pengadapan dengan merujuk kepada aturan dan institusti supaya apa yang negatif tidak mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat.

Dan kalau ia dilakukan dengan merujuk kepada etika intelektual Islam klasik yang sejagat, maka ia tidak boleh dianggap bercanggah dengan hak-hak manusia sebab manusia mesti beradab dan hak-hak itupun dilaksanakan untuk manusia menjadi beradab bukan sebaliknya.

Apabila diperingatkan berdasarkan adap, ia tidak harus dibantah atas nama kebebasan manusiawi, katanya.

Ustaz Muhammad berkata sejarah menunjukkan apabila Barat hendak memusnahkan Islam, ia memburuk-burukkan ulama.

Bila imej ulama rosak, maka sistem ilmu Islam tergugat, walhal, sistem ilmu itulah yang menjaminkan Islam hidup dan berfungsi dalam peradaban. Kita perlu mengelak daripada terjatuh ke dalam perangkap ini yang akan mengakibatkan Islam runtuh dari dalam.

Kita di Malaysia perlu memulakan titik sejarah baru ini. Kalau tidak, kita sebenarnya sedang meneruskan apa yang disebutkan oleh pakar sains politik Amerika Huntington bahawa dalam dunia Islam hanyalah ada pelbagai kumpulan yang berlumba, bukannya bekerjasama sesama mereka, katanya.

Untuk ini, kita perlu menyeru semua pihak ke arah cendiakawan Islam sejagat yang terhimpun di dalam perbendaharaan sistem ilmu Islam yang baku, dalam teks pokok umat Islam hasil jasa para ulama, pemikir, dan ilmuan seperti al-Ashaari, al-Shafie, al-Ghazali dan Ibnu Khuldum.

Mereka ini boleh disebut sebagai personaliti sejagat cendiakawan Islam. Dengan mengerti dan memahami warisan ini secara dekat, kita akan terselamat daripada masalah ketidak matangan cendiakawan dan kerohanian, katanya..



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In