Isu kritik ulama: Harakah pertahan pendirian

comments     Nash Rahman     Published     Updated

Harakah , lidah rasmi parti PAS, tidak berganjak daripada pendiriannya bahawa ulama boleh dikritik kerana ianya selaras dengan pendirian kepimpinan ulama PAS sendiri, kata ketua pengarangnya Zulkifli Sulong.

Memang menjadi dasar dan pandangan Harakah bahawa ulama boleh dikritik. Pertama, yang tidak boleh dikritik adalah Nabi dan Rasul. Kedua, perkara yang dibawa oleh ulama daripada Nabi dan Rasul juga tidak boleh dikritik. Itu pendirian kita, katanya kepada malaysiakini hari ini.

Beliau menegaskan demikian ketika diminta menjelaskan tulisannya dalam lidah pengarang Harakah keluaran terbaru bagi menjawab kontroversi mengenai kandungan lidah pengarang Harakah keluaran lalu yang disiarkan dalam bahagian bahasa Inggeris akhbar itu, yang mengkritik ulama di negara ini.

Misalnya, menteri besar Terengganu, yang juga timbalan presiden PAS, Abdul Hadi Awang menerima sendiri memorandum yang dihantar oleh Kelab Wartawan Terengganu yang mengkritik kepimpinan beliau, katanya.

Memorandum itu, katanya, mengandungi bantahan kelab itu terhadap sikap kerajaan negeri termasuk menteri besar sendiri, yang gemar mengecam wartawan dan pengamal media massa ketika berucap di khalayak ramai.

Beliau menerima sendiri memorandum itu ... biasanya pemimpin-pemimpin Umno menerima memorandum seumpama itu melalui pegawai mereka sahaja.

Bagi kami, ini adalah contoh yang klasik dan jelas mengenai sikap para pemimpin ulama PAS yang sedia menerima kritikan secara terbuka, katanya

Sedia terima kritikan

Sementara itu, dalam jawapannya yang terkandung dalam lidah pengarang keluaran terbaru Harakah , Zulkifli berkata akhbarnya berpendirian sedemikian kerana Nabi dan Rasul adalah maksum , iaitu terpelihara dari melakukan sebarang dosa. Sunnahnya jika diikuti akan menddapat pahala.

Tetapi ulama adalah manusia biasa. Mereka terdedah kepada kesilapan dan kesalahan serta keterlanjuran. Oleh itu, mereka terdedah kepada kritikan.

Apakah salah mengkritik ulama apabila mereka membuat silap? Tetapi kritikan itu bukanlah bertujuan untuk mencela ulama-ulama atau institusi ulama.

Kami yakin inilah sikap kepimpinan ulama PAS yang sedia menerima kritikan secara terbuka. Kesediaan menerima kritik ini adalah satu sikap yang baik dan lambang keperibadian seseorang yang berjiwa besar. Bukan sahaja pemimpin biasa, ulama juga perlu sedia menerima kritikan, tambahnya.

Menurut Zulkifli, Harakah juga sedia menerima sebarang kritikan tentang pendiriannya ini, termasuk daripada pemimpin PAS sendiri dan bersedia membetulkannya pada bila-bila masa jika kritikan itu berasas.

Medan serangan utama

Mengenai tindakan Harakah menyiarkan lidah pengarangnya yang lalu dalam bahasa Inggeris, Zulkifli berkata, memang tulisan itu ditujukan kepada orang bukan Islam yang sering terdedah kepada salah faham terhadap kepemimpinan ulama PAS.

Katanya gambaran salah mengenai Islam jarang disiarkan dalam akhbar berbahasa Malaysia, tetapi medan serangan utama terhadap Islam adalah melalui akhbar berbahasa Inggeris.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In