BERITA

SPM: Maksimum 10 Subjek

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Mei 2009, 6:23 pagi

Setiap pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 subjek maksimum mulai tahun depan.

Serentak dengan itu, beberapa perubahan akan dilakukan terhadap sistem pengredan SPM, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ia akan mempunyai banyak implikasi positif, satu yang pasti adalah para guru akan berupaya memberi lebih tumpuan terhadap bilangan mata pelajaran utama dan guru juga akan lebih khusus," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan, Bandar Enstek di Nilai hari ini, lapor Bernama.

Muhyidin, yang juga menteri pelajaran berkata, daripada setengah juta pelajar yang mengambil SPM sebelum ini, kira-kira 48,000 pelajar mengambil lebih daripada 10 subjek.

Ini juga akan mengatasi masalah pada sesetengah subjek yang kekurangan guru, malahan ibu bapa dapat menjimatkan wang daripada terpaksa membayar lebihan subjek perlu diambil apabila menghantar anak mereka ke kelas tuisyen, katanya.

Muhyiddin berkata kementerian amat serius untuk merapatkan jurang di antara pelajar bandar dan luar bandar walapun perbezaan jurang ini tidak sejauh mana.

"Sebenarnya jurang ini tidak terlalu jauh tetapi masih ada perbezaan yang agak ketara dari sudut lain dan ini dilihat dari segi keputusan peperiksaan," katanya.

Pembaharuan yang dilaksanakan pada Rancangan Malaysia Ke-10 membabitkan pembangunan prasarana, tenaga guru dan cara pembelajaran murid, katanya.

"Lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar ini terdapat ramai orang bumiputera Melayu, bumiputera yang agak miskin, kurang berkemampuan.

"Kita mahu pembangunan sekolah-sekolah di luar bandar sama tahapnya baik dari segi infrastruktur, cara pembelajaran sebagaimana yang terdapat di kawasan-kawasan yang sudah maju," kata Muhyiddin.

Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan guru-guru yang berkelayakan untuk mengajar bahasa Inggeris, Sains dan Matematik di pedalaman merupakan cabaran utama bagi kementeriannya melaksanakan pembaharuan itu.

Walaupun kementerian ada menawarkan elaun sebanyak RM1,500 sebagai insentif sejak dari tahun lalu untuk mereka datang ke kawasan pedalaman misalnya di Sabah dan Sarawak, tetapi masih banyak cabaran lain perlu ditangani.

Beliau sedang memikirkan cara untuk menyenangkan kehidupan guru-guru yang dihantar ke kawasan pedalaman ini kerana walaupun mendapat elaun, kementerian sedar masalah lain seperti perumahan menjadi asas utama perlu diatasi.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan