mk-logo
Berita
Penanti: SPR turunkan 13 bendera DAP
Diterbitkan:  May 28, 2009 6:36 AM
Dikemaskini: 6:39 AM

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bertindak menurunkan 13 bendera DAP di kawasan DUN Penanti kerana calon parti itu tidak bertanding dalam pilihanraya kecil di situ.

"Setakat ini tiada tindakan diambil. Cuma kita turunkan bendera parti itu dan serahkan bendera itu kepada parti terbabit," kata Timbalan Pengarah SPR Pulau Pinang, Mohd Faiz Syazwan Zainal Abidin, lapor Bernama.

Katanya, parti politik yang tidak bertanding dalam pilihanraya kecil itu pada 31 Mei ini, tidak dibenarkan memasang bendera dan poster parti mereka di kawasan itu.

Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas - bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Kerusi DUN Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas timbalan ketua menteri 1, Mohammad Fairus Khairuddin.

Sementara itu, Nai-Khan Ari merupakan satu-satunya calon yang akan mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti Ahad ini.

Beliau yang juga seorang pengurus syarikat, akan mengundi di daerah mengundi Telok Wang.

"Pada 31 Mei ini hanya saya yang akan mengundi, isteri tidak mengundi di sini kerana mendaftar di Kulim," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah SPR Pulau Pinang, Morat Pora mengesahkan hanya Nai-Khan Ari sahaja yang akan mengundi Ahad ini, manakala tiga calon lain bukan berasal dari Penanti.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini