kemaskini 3.25pm Muktamar PAS menerima usul bagi mendesak kerajaan mengharamkan pertubuhan wanita terkenal Sisters In Islam (SIS) jika benar siasatan mendapati NGO itu mengancam akidah umat Islam.
Usul yang dibawa PAS Shah Alam itu diterima tanpa bahas di hari terakhir di muktamar ke-55 yang bermula sejak Jumaat lalu di Shah Alam.
"(Muktamar) mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal.
"Dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya," usul tersebut dipetik.
Menurut usul itu juga, aliran dan pandangan yang dibawa oleh SIS didakwa boleh mengelirukan masyarakat dan pemikiran SIS didakwa "mudah meresapi pemikiran dan meracuni akidah umat Islam" terutamanya golongan muda dan golongan yang berpendidikan sekular.
Gesaan menyiasat dan mengharamkan SIS antara 12 usul yang diterima tanpa bahas di muktamar tersebut - merangkumi hal-hal politik, organisasi dan kepimpinan, agama, sosial dan hubungan serantau.
Dewan Pemuda pula mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor menyaman media asing yang mengaitkan mereka dengan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Kelmarin, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat gesaan yang sama ketika menyampaikan ucapan dasarnya dalam muktamar kali ini.
Abdul Hadi bagaimanapun tidak menyebut langsung nama Najib dan Rosmah sebaliknya hanya menyebut "pemimpin utama negara yang dibebani kes rasuah dan jenayah".
Dewan Pemuda juga mengusulkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan menenubuhkan badan penyiasatan bebas bagi kes berprofil tinggi itu.
Menurut usul tersebut, "negara perlu ditadbir oleh pemimpin yang bersih dan kelihatan bersih" kerana ekonomi negara terancam akibat "gambaran imej tidak baik perdana menteri."
Sementara itu, tiga kawasan PAS – Shah Alam, Jerlun dan Hulu Selangor – mengusulkan Pakatan Rakyat didaftarkan sebagai sebuah gabungan rasmi sebagai alternatif kepada BN.
Saranan itu sebahagian langkah mengukuhkan hubungan dalam gabungan itu yang terpaksa berdepan usaha melaga-lagakan pemimpin dalam tiga parti pembangkang tersebut.
Muktamar juga menerima usul supaya Pakatan Rakyat mewujudkan sistem saringan dalam pemilihan calon pilihanraya agar tidak berlaku lagi insiden wakil-wakil rakyatnya rakyatnya berpaling tadah seperti berlaku di Perak, Februari lalu.
Tindakan dua ADUN PKR dan seorang ADUN DAP negeri itu menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak tumbang.
Dalam usul tersebut, Pemuda PAS juga menggesa parti itu bertegas dalam rundingan kerusi-kerusi menjelang pilihanraya umum akan datang kerana selama ini parti itu didakwa "terlalu akur dengan parti-parti rakan dalam Pakatan".
Usul-usul lain yang diluluskan tanpa perbahasan termasuklah:
Mendesak kerajaan meminta undang-undang kewarganegaraan bagi membolehkan anak-anak pendatang asing – sehingga 1960-an – diberikan hak kewarganegaraan bagi menghargai jasa ibu bapa mereka.
Mendesak Kementerian Kesihatan menghapuskan bayaran bagi rawatan penyakit kronik kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban mereka.
Mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang menggunakan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan pelbagai taktik untuk membuang pekerja.