Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Usul haramkan SIS bayangan k'jaan PAS
Diterbitkan:  Jun 10, 2009 12:02 PM
Dikemaskini: 5:38 AM

Mantan perdana menteri berkata gesaan PAS supaya pertubuhan wanita terkenal Sisters in Islam (SIS) diharamkan, membayangkan bentuk kerajaan yang bakal dibentuk PAS di Malaysia.

"Kita boleh membayangkan bagaimanakah nanti bentuk kerajaan PAS di Malaysia," tulis Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya hari ini.

mahathir and rais yatim pc 190309 04 Menurutnya, beliau kecewa dengan gesaan PAS supaya NGO wanita berpengaruh itu diharamkan.

Sabtu lalu, Muktamar PAS menerima usul bagi mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat SIS dan mengharamkannya jika benar siasatan mendapati NGO itu mengancam akidah umat Islam.

Usul yang dibawa PAS Shah Alam itu diterima tanpa bahas di hari terakhir muktamar ke-55 parti itu di Shah Alam.

Usul itu juga mendesak kerajaan menjalankan program pemulihan ke atas ahli-ahli SIS jika didapati sah melencong daripada agama.

Menurut usul itu juga, aliran dan pandangan yang dibawa oleh SIS didakwa boleh mengelirukan masyarakat dan pemikiran SIS didakwa "mudah meresapi pemikiran dan meracuni akidah umat Islam" terutamanya golongan muda dan golongan yang berpendidikan sekular.

DAP, PKR turut bantah

Gesaan menyiasat dan mengharamkan SIS antara 12 usul yang diterima tanpa bahas di muktamar tersebut - merangkumi hal-hal politik, organisasi dan kepimpinan, agama, sosial dan hubungan serantau.

Usul PAS itu turut dibantah oleh rakan-rakan parti itu dalam Pakatan Rakyat - DAP dan PKR - yang menyifatkannya sebagai bercanggah dengan kebebasan bersuara dan berpersatuan di negara ini.

khir toyo Manakala semalam, bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo juga tidak bersetuju SIS diharamkan, tetapi sebaliknya mencadangkan "Islam" dibuang pada nama badan tersebut.

Menurutnya, masalah NGO itu ialah adanya nama Islam yang menimbulkan pelbagai tafsiran.

Beliau berkata, ada di kalangan pemimpin Islam khuatir nama tersebut dianggap sebagai satu punca yang berautoriti untuk bercakap mengenai agama Islam.

"Namun mengharamkannya juga tidak wajar kerana (tindakan) ini hanya menunjukkan umat Islam di negara ini sebagai jumud dan tidak bersedia berwacana mengenai ilmu agama.

"Jalan terbaik ialah dengan menukar nama Sisters in Islam kepada nama lain yang tidak menggunakan nama Islam secara langsung," tulis Dr Mohamad Khir dalam blognya.

Pandangan ketua pembangkang di DU Selangor itu selari dengan saranan Pemuda PAS semalam yang menggesa SIS menukar namanya kepada "Sisters in Malaysia" jika ingin meneruskan kegiatannya.

ADS