Most Read
Most Commented
Read more like this

Siapa yang melatah, Datuk Seri Rafidah Aziz atau pemimpin-pemimpin yang lain? Tiga Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan Datuk Seri Najib Tun Razak membidas Ketua Wanita yang menyarankan supaya jawatan nombor tiga dalam parti itu dimansuhkan.

Saranan Rafidah itu tepat menuju batang hidung ketiga-tiga tokoh yang baru memenangi jawatan naib presiden dalam perhimpunan Umno pada 11 Mei lalu. Muhyiddin terperanjat mendengar saranan tersebut. Muhammad menyifatkan idea Rafidah itu boleh melemahkan parti. Najib tidak mahu perbincangan tentang hal itu dibahaskan secara terbuka.

Ahli Majlis Tertingi Umno, Annuar Musa juga mengutuk Rafidah dengan menuduh menteri itu melatah. Katanya, Rafidah tidak perlu melatah kerana banyak lagi kerja lain yang perlu dilakukannya.

Selasa lalu, Rafidah menyarankan jawatan naib presiden dimansuhkan kerana pada pendapatnya perebutan jawatan tersebut menggalakkan politik wang. Ketua Wanita itu berjanji akan membawa usulnya ke mesyuarat MT tidak lama lagi.

Sepatutnya pemimpin Umno tidak melatah mendengar cadangan Rafidah itu. Cadangan tersebut tidak patut ditolak mentah-mentah. Seeloknya ia diteliti dan dbincangkan ke peringkat MT, bahagian dan cawangan. Buah fikiran ahli-ahli di peringkat akar umbi perlu juga didengar.

Keberanian Rafidah membawa idea yang tidak popular ini patut dihormati. Tentunya beliau mempunyai alasan-alasan kukuh. Beliau merasakan jawatan Naib Presiden sudah tidak relevan dan tidak sesuai dengan keadaan semasa.

Jawatan tersebut telah ada dalam parti sejak 40 tahun lalu. Ia sudah menjadi satu institusi; bagaimanapun ini tidak bermakna kewujudan jawatan itu tidak boleh dikaji semula. Umno sekarang mempunyai empat lapisan pucuk pimpinan tertinggi - Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Tertinggi. Pucuk pimpinan tertinggi ini diapit oleh sayap Pemuda dan Wanita.

Rasional Rafidah, jawatan nombor tiga tidak perlu lagi kerana sudah wujud jawatan nombor dua untuk membantu Presiden. Beliau berpendapat, pemimpin pelapis untuk diangkat ke lapisan kedua boleh dipilih daripada kalangan 35 anggota MT jika jawatan Naib Presiden ditiadakan.

"Sekarang, pemilihan calon untuk dua jawatan tertinggi parti dibuat dari kalangan mereka yang menjadi Naib Presiden tanpa mengambil kira sama ada pemimpin nombor tiga dalam parti itu seorang pemimpin yang efektif atau tidak," katanya.

Demikianlah pendapat peribadi Rafidah. Tidak mengejutkan sama sekali apabila beliau sanggup mengeluarkan pendapat itu kerana sudah terkenal dengan kelantangan dan keberaniannya. Kini beliau menjadi sasaran musuh-musuh politiknya.

Ada pemimpin Umno berpendapat Rafidah menjolok sarang tebuan kerana beliau secara langsung telah mengusik kedudukan tiga orang pemimpin Umno yang berpengaruh. Beliau seperti menyatakan kepada Presiden Umno dan ahli-ahli parti bahawa tiga naib presiden yang ada sekarang tidak berkemampuan dan tidak wajar secara automatik menjadi calon Timbalan Presiden jika tiba-tiba jawatan tersebut kosong sebelum pemilihan parti pada tahun 2003.

Oleh itu tidak hairanlah mengapa ketiga-tiga naib presiden yang ada sekarang dan penyokong mereka melenting apabila Rafidah membuat saranan tersebut. Sebabnya, kedudukan Mahyuddin, Najib dan Muhammad akan tergugat jika cadangan itu diterima.

Pemimpin lain seperti Annuar dan Ketua Pemuda, Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang bercita-cita tinggi untuk menduduki jawatan nombor tiga dalam parti itu juga rasa tercabar. Cadangan ini akan menyekat peluang mereka. Oleh itu, isu itu perlu dimatikan secepat mungkin. Ia mesti ditolak dalam mesyuarat MT akan datang. Jangan sekali-kali ia dipanjangkan hingga ke bahagian dan ke perhimpunan agung Umno akan datang.

Sejauh mana seriusnya Rafidah dalam mempertahankan saranannya itu tidak diketahui.

Adakah ia sekadar satu gimik murahan atau satu strategi untuk menguji sentimen parti akan ditentukan kemudian. Namun bagi pemerhati politik, jika Umno menerima saranan Rafidah itu, ia seperti menapak ke belakang.

"Sedangkan parti-parti lain semakin membuka peluang kepada ahli-ahlinya untuk menduduki kerusi -kerusi tertinggi parti, tiba-tiba ada pemimpin Umno yang mahu menyempitkan peluang ahli-ahlinya mengembangkan bakat kepimpinan. PAS dalam muktamar terbarunya telah menambah jawatan Naib Presiden daripada dua kepada tiga. Tiba-tiba Umno diminta memansuhkan jawatan nombor tiganya.

"Ini juga seperti hendak menghakis hak ahli-ahli dalam menentukan barisan kepimpinan parti. Tentunya hak dan kuasa yang lebih besar akan dipegang oleh Presiden apabila jawatan Naib Presiden dihapuskan," kata pemerhati tersebut.

Seorang ahli politik veteran pula bertanya; adakah politik wang dapat dihapuskan apabila jawatan naib presiden dimansuhkan?

"Politik wang sudah berakar umbi dalam Umno; dari atas hingga ke bawah. Kalau tidak ada duit, kerja tidak jalan," katanya.

Nampaknya idea Rafidah itu melawan arus. Beliau makin tidak popular dengan idea itu. Bagaimanapun apakah pemimpin-pemimpin Umno termasuk tiga naib presidennya akan melatah jika saranan untuk menghapuskan jawatan nombor tiga dalam parti itu keluar dari mulut Presiden Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sendiri?

Anda tentu tahu jawapannya.


AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau telah meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita prokerajaan" untuk menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih berkesan dan terbuka.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS