Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suasana di Sekolah Antarabangsa Seri Chempaka, Cheras berjalan seperti biasa walaupun wabak selesema A (H1N1) merebak menjadi dua kes di sekolah elit itu.

Ibu bapa dan pemandu yang datang mengambil pelajar tidak mahu menjawab soalan media yang bergegas ke situ untuk mendapatkan reaksi selepas ia diarah ditutup selama seminggu mulai semalam. Manakala pelajar pula terus menaiki kenderaan yang menunggu mereka.

bm version h1n1 swine flu affected schools 230609 Sekolah tersebut yang mempunyai 1,200 pelajar menawarkan pengajian dari peringkat prasekolah kepada A Level terletak di kawasan bukit di Batu 9, Cheras.

Mulai jam 2 petang, kenderaan-kenderaan umumnya jenis mewah bertali arus memasuki perkarangan sekolah tersebut untuk membawa pelajar pulang selepas sesi persekolahan tamat.

Mereka kelihatan tidak panik atau tergesa-gesa walaupun arahan menutup sekolah dikeluarkan lebih dua jam sebelumnya.

Sejak Ahad lalu, empat buah sekolah diarah ditutup bagi mengawal penularan tempatan penyakit tersebut.

Sementara tiga buah sekolah lagi diarah menutup masing-masing satu kelas yang melibatkan pelajar yang dijangkiti wabak tersebut (lihat grafik, bawah) .

Daripada 68 kes, setakat semalam, sembilan melibatkan penularan tempatan, selebihnya kes import - mereka yang pernah ke negara-negara yang diserang wabak tersebut.

Pengawal keselamatan sekolah Seri Chempaka pula tidak membenarkan sekumpulan wartawan memasuki kawasan sekolah tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkembangan terbaru berkaitan penyakit tersebut.

Kira-kira 10 wartawan dan jurugambar media tempatan berkumpul di perkarangan tempat letak kereta, lebih kurang 30 meter dari pintu utama sekolah.

Seorang pengawal memberitahu Malaysiakini , seorang ahli lembaga pengarah sekolah akan mengadakan sidang akhbar mengenai perkara tersebut di sebuah lagi sekolah itu di Bukit Damansara jam 2 petang.

h1n1 zakiah hussein smk cempaka Bagaimanapun, seorang ibu Zakiah Hussein sedia bertemu wartawan di perkarangan tempat letak kereta di sekolah itu.

“Anak perempuan saya Barakah Javed Ahmed yang belajar Tahun Dua yang memberitahu ada seorang pelajar Tingkatan Empat dijangkiti virus tersebut.

“Menurut anak perempuan saya, pelajar itu baru pulang bercuti dari Australia,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, beliau belum dimaklumkan sama ada sekolah itu ditutup atau tidak.

Kelmarin sekolah itu hanya diarah menutup sebuah bilik darjah susulan seorang pelajarnya terkena jangkitan wabak selesema A (H1N1).

Zakiah menambah, menutup sekolah dan mengikut arahan pihak berkuasa merupakan langkah terbaik untuk menangani masalah tersebut - kini menjadi pandemik global.

“Saya risau, bagaimana hendak mengawal anak saya ini kerana umurnya baru sembilan tahun.

h1n1 ikmal Badrudin smk cempaka “Ketika ini belum ada rancangan nak bawa anak saya jumpa doktor, tengok-tengok kalau ada simptom demam,” katanya.

Sementara seorang pelajar Tingkatan Empat, Ikmal Badruddin berkata, beliau mengetahui ada pelajar yang terkena H1 N1 setelah mendengar pengumuman guru.

Katanya, seorang pelajar melancong ke luar negara sebelum pulang minggu lalu.

Dalam sidang media seperti dijanjikan, naib pengerusi sekolah Dr Iskandar Rizal Hamzah memberitahu wartawan, dua pelajar terkena penyakit tersebut semalam - yang menyebabkan kerajaan mengarahkan ia ditutup.

h1n1 dr iskandar rizal abdullah smk cempaka “Pelajar kedua itu terkena jangkitan dari pelajar yang pergi ke luar negeri itu,” katanya dalam sidang media lewat petang.

Berikutan itu, katanya, sekolah akan tutup selama seminggu mulai esok.

Bagaimanapun, katanya, pembelajaran berjalan seperti biasa melalui internet.

ADS