BERITA

Pemuda Umno derma 10 sen seorang bayar denda

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Jun 2009, 11:59 tengahari

Empat pemimpin Pemuda Umno Selangor bersiap sedia membayar denda maksimum sebanyak RM4,000 berhubung kekecohan terhadap pemimpin DAP Karpal Singh di Parlimen, 26 Febuari lalu.

Ketua Pemuda bahagian Serdang, Engku Salleh Engku Abdul Jamal yang turut didapati bersalah berkata, setiap ahli pergerakan itu di negeri tersebut akan menderma 10 sen seorang untuk membayar denda tersebut.

Hari ini jawatankuasa khas Parlimen mengenakan denda RM1,000 setiap seorang ke atas mereka. Keputusan muktamad akan ditentukan dalam perbahasan dewan, Khamis ini.

Selain Engku Salleh, tiga ketua Pemuda bahagian lain: Latt Sharizan Abdullah (Petaling Jaya Utara), Megat Zulkarnain Omar Din (Gombak) dan Zahari Shaari (Shah Alam).

“Saya setuju dengan cadangan supaya setiap ahli Pemuda membayar 10 sen seorang kerana inilah masanya untuk mereka menunjukkan perpaduan di kalangan ahli,” kata Engku Salleh ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Secara berseloroh, beliau berkata, jika kutipan melebihi RM4,000, bakinya akan digunakan untuk membeli kerusi roda bagi kegunaan ahli parlimen yang kurang upaya.

“Kita akan beli dua kerusi roda itu dan Karpal Singh tidak perlu lagi membawa kerusi roda untuk digunakan di Parlimen,” tambahnya.

Sementara Shahrizan pula berkata, beliau menerima keputusan itu secara terbuka dan akan membayar denda berkenaan.

Susulan keputusan jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Shahrizan memohon maaf kepada Parlimen atas kejadian tersebut tetapi tidak kepada Karpal.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.