Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda Umno Bukit Katil mengaku ahlinya telah bertindak memecahkan sebuah meja dalam kekecohan dengan DAP dan PAS di pasar malam Taman Melaka Baru, malam tadi.

Selain seorang wakil rakyat DAP didakwa mengalami luka-luka, seorang ahli Umno ditahan di balai polis Batu Berendam selama enam jam sejak 9 malam bagi membantu siasatan.

umno youth violent attack at dap event in melaka market 030709 04 Setiausahanya Safrie Abdullah berkata, kejadian tersebut berlaku selepas pertikaman lidah antara kira-kira 40 ahli dan penyokong Pemuda Umno dengan kumpulan seangkatannya dalam DAP dan PAS.

Tambahnya, insiden ketegangan ini terjadi setelah kali ketiga Pemuda DAP membuka meja pendaftaran pemilih dan juga menambahkan keahlian parti di pasar malam itu.

“Dua kali sebelum ini, hanya Pemuda DAP yang datang berkempen, tetapi kali ini mereka ajak sama Pemuda PAS,” kata Safrie, yang tidak hadir di situ kerana turut bertugas di DUN Manek Urai yang menghadapi pilihanraya kecil, Isnin ini.

“Mereka bukan ahli Suruhanjaya pilihanraya (SPR) untuk melancarkan kempen tersebut. Saya juga dimaklumkan mereka tidak mendapat kebenaran dari pengerusi jawatankuasa taman dan persatuan penjaja.

"(Lagipun,) Pemuda Umno memberitahu mereka, kawasan ini untuk pasar malam dan bukannya untuk melancarkan kempen menambahkan keahlian parti."

Sementara Naib Ketua Pemuda Umno Bukit Katil, Jailani Khamis berkata beliau “tidak tahu” pihak mana yang memecahkan meja tersebut tetapi dimaklumkan ia memang dirosakkan.

Beliau juga menafikan memaki-hamun kepada pemimpin Pemuda PAS tetapi mengakui berbuat demikian kepada pemimpin Pemuda DAP.

“Saya beritahu pemimpin DAP, ini kawasan pasar malam mengapa buat ceramah politik dan berkempen menambah ahli menggunakan logo suruhanjaya pilihanraya (SPR),” kata Jailani ketika dihubungi Malaysiakini.

umno youth violent attack at dap event in melaka market 030709 03 Beliau juga menafikan ahli-ahli Pemuda Umno memaki-hamun polis dan kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah seperti didakwa Ketua Penerangan PAS negeri Sofi Wahab hari ini.

Mengulas kecederaan ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong seperti didakwa PAS Melaka, Jailani berkata, ia berlaku kerana wakil rakyat berkenaan menyorok bawah meja kerana ketakutan ketika kekecohan itu berlaku.

Wakil rakyat DAP itu terluka akibat terkena batu di bawah meja itu, kata Jailani.

Mencerita lebih lanjut insiden tersebut, Jailani berkata, pada mulanya Pemuda Umno telah mengarahkan Pemuda PAS dan DAP supaya tidak meneruskan kempen tersebut - yang bermula sejak petang.

Bagaimanapun, menurutnya, mereka enggan meninggalkan tempat itu dan membuat provokasi dan lantaran itu tercetuslah pertikaman lidah antara dua kumpulan tersebut.

“Tetapi ahli Pemuda DAP marah kepada Pemuda Umno, lalu kita mengeluarkan kata-kata kesat menyebabkan mereka (DAP) pula marah kepada kita. Kita pun marah mereka pula,” katanya.

Dihubungi dari Kelantan, Safrie berkata, beliau menerima pesanan melalui SMS daripada ahli Pemuda Umno yang berada di tempat kejadian sebelum Maghrib tentang kempen pendaftaran DAP dan PAS di situ.

Beliau kemudiannya meminta ahli pergerakan itu ke tempat berkenaan untuk memantau keadaan tetapi jangan mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya lagi, pemergian ahli Pemuda Umno itu bukan untuk bergaduh tetapi mahu menunjukkan kepada pembangkang bahawa “penyokong Pemuda Umno lebih ramai daripada mereka”.

"Saya beritahu kepada ahli-ahli Pemuda Umno supaya menghubungi pihak polis jika mereka memulakan kekacauan," katanya.

Akibat insiden ini, pemimpin-pemimpin DAP dan PAS membuat lapan aduan polis di balai Banda Kaba terhadap Pemuda Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS