Sebelum itu, mahasiswa bercadang mengadakan demonstrasi di depan istana presiden tetapi pada pagi hari lagi, Amien Rais membelokkan kumpulan demonstran ke arah bangunan Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR).
Setelah berbuat begitu, Amien berterima kasih pun tidak terhadap gerakan mahasiswa. Bahkan beliau pernah menuduh Forum Kota, sebuah kumpulan siswa yang sering ke depan dalam usaha menjatuhkan Soeharto, dan selama ini pula telah ditelikung olehnya, bahawa forum itu (yakni Jawatankuasa Rakyat Indonesia) sebagai program komunis.
Sikap reformis gadungan juga sangat oportunis dan plin-plan. Tengok sahaja ketika Amien menyatakan akan memberikan kesempatan tiga bulan ke depan kepada Soeharto. Tetapi setelah tiga bulan, beliau tidak memberikan sebarang komen.
Lagi, ketika gerakan mahasiswa yang didukung rakyat sedang menentang pertanggungjawaban Habibie, Amien tidak mempunyai sikap.
Pandangan kaum reformis gadungan juga tidak mencerminkan sikap seorang demokrat. Terbukti ketika Presiden Gus Dur, atau nama penuh Abdur Rahman Wahid, mengajukan pencabutan TAP MPRS XXV/1996, Amien dengan gaya reactionary menentang. Mana ada demokrat melarang ideologi atau keyakinan politik tertentu?
Para reformis gadungan sering menggunakan cara-cara menghalalkan apa sahaja cara untuk mencapai tujuan. Misalnya, ketika beliau sepakat dengan pembentukan askar-askar jihad. Ganjil, orang bersenjata yang ingin mengeruhkan suasana diberikan sokongan.
Kini, Amien harus menjilat ludahnya sendiri dengan menyatakan bahawa askar-askar tersebut harus dipulangkan dari Maluku dan kemudiannya dibubarkan.
Sikap kaum reformis gadungan juga bertentangan dengan agenda revolusi demokratik, yang mensyaratkan penghancuran sisa Orba (orde baru atau era pemerintahan Soeharto).
Pakatan gadungan-Orba
Kaum reformis gadungan juga telah mengkhianati rakyat yang telah membuang undi dalam pilihan raya umum (Pemilu). Mereka juga menjalinkan hubungan rapat dan pakatan dengan Golkar (parti Soeharto), dan bukan setakat itu tetapi juga cuba mengembalikan peranan tentera dalam arus politik.
Misalnya usul Amien agar pertemuan Jogjakarta dihadiri Panglima TNI (Tentera Nasional Indonesia). Sama ada berguna atau tidak pertemuan itu, yang pasti pertemuan itu sangat bersifat politik. Dengan melibatkan seorang pegawai tinggi tentera, sama sahaja memberikan kesempatan pada tentera untuk berpolitik.
Sikap serupa juga ditunjukkan Megawati Sukarnoputri, yakni dengan memasukkan anasir-anasir tentera Orba dalam tubuh partinya, PDI-P (Partai Demokratik Indonesia-Perjuangan). Theo Syafie adalah orang yang bertanggungjawab atas serangkaian pembantaian di Timor Timur. Kerana beliau memegang jawatan ketenteraan ketika Orba, beliau juga pembela peranan dwifungsi TNI (tentera sebagai pasukan pertahanan dan partai politik).
Padahal dwifungsi TNI itu sendiri yang telah mengobok-obokkan PDI pada tahun 1996. Theo Syafie yang tidak pernah berjuang untuk PDI, bahkan pendukung dwifungsi tentera, dan beliau sama sekali tidak pernah berjuang untuk rakyat dengan mudah masuk dalam susunan kepimpinan PDI.
Demikian juga Megawati yang tidak pernah serius ingin membongkar kes 27 Julai 1996 (tangkapan beramai-ramai terhadap aktivis muda Partai Rakyat Demokratik [PRD] dan PDI). Padahal kes itu dengan begitu nyata sengsarakan rakyat dan penyokong PDI.
Tidak pernah sekali pun keluar kenyataan daripada Megawati untuk menyelongkar secara habis-habisan kes 27 Julai 1996. Sikap tersebut diambil kerana beliau bekerjasama dengan sisa-sisa Orba. Kes-kes melibatkan mereka (bekas regim) banyak sekali tetapi tidak satupun cuba diselesaikan secara tuntas (menyeluruh).
Contoh lain, tentang penculikan aktivis politik dan rakyat, sama ada Amien atau Megawati tidak menimbulkan isu tersebut. Malah, aktivis PDI sendiri, Haryanto Taslam yang turut menjadi korban penculikan kerajaan Soeharto, tidak dibenarkan oleh Megawati untuk memberikan keterangan di mahkamah.
Siapa sisa Orba?
Dua pemimpin tersebut hanya contoh daripada sekian banyak kaum reformis gadungan. Ciri utama kaum reformis gadungan ialah tidak mahu agenda reformasi berjalan tuntas. Tuntasnya agenda reformasi apabila tersingkir sisa-sisa Orba dalam arus politik kerajaan. Sebaliknya, dua pemimpin ini bekerjasama dengan sisa-sisa Orba.
Selain kerjasama itu, salah satu ciri-ciri reformis gadungan ialah mereka, dari semasa ke semasa, tidak pernah membela kepentingan kaum buruh. Contohnya undang-undang tentang syarikat pekerja yang memiliki semangat autoriter disokong.
Juga soal upah. Jangankan cuba menaikkan soal upah, berbicara tentang buruh pun tidak pernah.
Bagaimana dengan orang seperti Akbar Tanjung (Golkar), apakah ia termasuk dalam kategori reformis gadungan? Tentu sekali tidak. Akbar dan Golkar bukanlah reformis gadungan. Akbar dan Golkar adalah sisa-sisa Orba.
Kaum reformis gadungan sangat berbahaya. Mereka mengancam agenda reformasi. Mereka memberikan banyak khayalan kepada rakyat. Mereka juga mempunyai banyak pendukung di kalangan masyarakat.
Tentu sahaja rakyat mendukung mereka dengan harapan akan menjalankan reformasi bagi menyingkirkan sisa-sisa Orba. Tetapi nyata sekali mereka mengkhianati hasrat rakyat.
Mereka telah memperalatkan kesedaran rakyat, dengan kerjasama itu, rakyat akan terlena dan menganggap mereka itu sudah reformis. Orba sudah bertukar refomis. Sangat berbahaya. Kaum reformis gadungan harus kita tinggalkan. (mm&wg;).
Tulisan ini asalnya diterbitkan dalam makalah Pembebasan , Ogos 2000, yang dikeluarkan Partai Rakyat Demokratik (PRD), Jakarta Selatan, Indonesia. Pemimpin dan aktivis PRD, yang majoriti ahlinya golongan muda, pernah ditangkap beramai-ramai beberapa tahun sebelum Soeharto ditumbangkan dalam aksi massa siswa 1998. Rencana ini diterbitkan dengan sedikit adaptasi kepada Bahasa Malaysia.
