Berita Malaysiakini

Anwar selar pihak samakan rumah KM dan Khir Toyo

Jimadie Shah Othman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar dakwaan yang cuba menyamakan kediaman baru Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan rumah bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Mohamad Khir Toyo, yang telah mencetuskan kontroversi.

"Tunjuk rumah sewa ketua menteri Pulau Pinang, hendak samakan dengan puluhan juta rumah (Datuk Seri Dr Mohd) Khir Toyo. Itu masalah pemimpin Umno.

NONE "Tengok pemimpin Umno di Manek Urai, cuba tanya kekayaan Tan Sri, Datuk dalam Umno, ada tidak aset RM20 juta? (Mereka) datang ke Manek Urai, cakap soal bela rakyat," katanya dalam ceramah di Chuchoh Puteri, Manek Urai malam tadi.

Pada 26 Jun lalu, Lim Guan Eng dilaporkan berpindah daripada kediaman rasmi di Seri Teratai ke sebuah banglo mewah di No. 25, Jalan Pinhorn.

Susulan itu, 5 Julai lalu, Naib Ketua Gerakan Pulau Pinang, Hong Khoon Leng meminta Lim mendedahkan kewajarannya berpindah, termasuk mendedahkah kos pengubahsuaiaannya - yang menurutnya dijangka ratusan ribu ringgit.

Manakala rumah mewah milik Dr Mohd Khir di Shah Alam mencetus kontroversi kerana kosnya dikatakan melebihi kemampuannya atau menteri besar yang berkhidmat selama lapan tahun.

ADUN Sekincan, Ng Suee Lim mendakwa anggaran kos pembinaan rumah di kawasan seluas 50,000 kaki persegi atau 0.5 hektar itu, ialah RM20 juta, manakala tanahnya dibeli dengan harga RM3.8 juta.

Bekas menteri besar Selangor itu ketika diminta mengulas mengenainya, mengakui membeli dua lot tanah berserta sebuah banglo terbabit tetapi dengan harga RM3.5 juta dan bukan RM24 juta seperti yang didakwa oleh Ng.

Sementara itu, mengenai isu DAP Kedah Keluar Pakatan pula, Anwar berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak bukan merobohkan pusat penyembelihan babi di Alor Star.

Isu royalti minyak

Tetapi sebaliknya memindahkannya ke tempat yang lebih teratur dan bersih, kata Anwar yang juga ketua Umum PKR itu.

Sehubungan itu, Anwar menyalahkan media yang didakwanya memutarbelitkan isu tersebut sehingga melaporkan terdapat pergeseran antara DAP dan PAS di Kedah.

Sementara itu, exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa pula menyentuh isu royalti minyak Kelantan, yang didakwanya melebihi daripada RM1 bilion yang dituntut Kelantan baru-baru ini.

"Kita minta kurang sikit, takut dia (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) terkejut. Lepas ini kita minta lagi,'" katanya sambil mengakui sudah menemui dokumen perjanjian lama Kelantan dan Petronas berhubung perkara itu.

Menurutnya, perjanjian pada tahun 1975 itu, telah ditantangani oleh menteri besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tambahnya, perjanjian itu mensyaratkan Kelantan diberikan royalti sebanyak 5 peratus setahun - dibayar tunai dua kali setahun - untuk hasil minyak yang ditemui kawasan pantai dan pesisirnya.