Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
GRO bersama pelancong kena H1N1
Diterbitkan:  Jul 8, 2009 3:19 PM
Dikemaskini: 12:32 PM

Seorang pegawai perhubungan pelanggan (GRO) disahkan mendapat jangkitan virus influenza A (H1N1) hari ini daripada seorang pelancong Oman yang bercuti di Pulau Tioman, Pahang baru-baru ini.

GRO 33 tahun itu kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, manakala pelancong 34 itu yang mendapat rawatan di tempat yang sama disahkan kelmarin.

GRO itu antara 45 lagi kes baru jangkitan wabak tersebut yang dikesan negara ini, termasuk 22 kes tempatan, menjadikan jumlah semuanya 513 kes.

Sehingga kini 378 kes dikelaskan sebagai import dan 135 kes lagi tempatan.

Dalam kenyataan media harian berkenaan pandemik itu, Kementerian Kesihatan membuat pembetulan statistik pesakit yang telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital seperti dilaporkan Malaysiakini semalam.

"Jumlah sebenar pesakit yang telah sembuh adalah seramai 348 orang dan bukannya 335 pesakit seperti yang dilaporkan (dalam kenyataan medianya semalam)," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican hari ini.

"Manakala dua kes yang dilaporkan di Hospital Labuan (semalam) sebenarnya adalah 'kes dalam siasatan' dan bukannya kes yang disahkan."

Daripada jumlah keseluruhan pesakit influenza A (H1N1), 430 orang atau 84 peratus telah sembuh dan telah discaj dari hospital, 83 lagi sedang dirawat di hospital.

Kementerian juga mendedahkan perkembangan penyakit seakan-akan influenza di Akademi Laut Malaysia (ALAM), Melaka yang melibatkan 50 orang pelatih.

"Ujian makmal mengesahkan enam (orang) daripada lapan sampel yang diuji berkeputusan positif bagi jangkitan influenza A (H1N1)," kata Dr Mohd Ismail lagi.

"Kesemua 50 pelatih yang yang menunjukkan gejala telah ditempatkan di blok pengasingan dalam kompleks ALAM dan telah diberikan rawatan antivirus, dan kesemuanya dalam keadaan stabil.

"Kesemua pelatih dan anggota ALAM yang tiada gejala telah diletakkan di bawah pengawasan."

Daripada 45 kes baru melibatkan 38 rakyat Malaysia, termasuk 20 orang yang mendapat jangkitan tempatan. Lima kes tempatan ini

peserta Persidangan Farmaseutikal Asia Pasifik (APPC), Pulau Pinang.

Sementara dua lagi warganegara asing yang menuntut di ALAM.

Empat daripada lima peserta APPC itu merupakan kontak kes 191, seorang pelajar 20 tahun warga Indonesia dari Bandung yang tiba 23 Jun lalu untuk menghadiri seminar di Universiti Sains Malaysia (USM) dan kontak kepada 17 peserta APPC yang kemudiannya turut dijangkiti wabak.

Kes 191 juga pernah menyebarkan jangkitan kepada dua orang yang disahkan semalam.

Seramai 83 pesakit yang masih dirawat ditempatkan di: Hospital Kuala Lumpur (22 pesakit), Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (17), Hospital Miri (5), Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu (5), Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (4), Hospital Pulau Pinang (4), Hospital Sungai Buloh (4), Hospital Melaka (3), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star (3), Hospital Batu Pahat (3), Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan (3), Hospital Umum Sarawak (2), Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu (2), Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh (2), Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu (1), Hospital Tawau (1), Hospital Bintulu (1) dan Hospital Tumpat (1).

Kontak yang sedang menjalani kuarantin di rumah seramai 1,109 orang, dengan enam kontak dikesan mempunyai gejala seakan-akan influenza.

Sehingga pagi ini, tiada sekolah baru ditutup dan tiada kematian akibat influenza A (H1N1), kata kata Dr Mohd Ismail lagi.

ADS