Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Umno bahagian Jasin menafikan 80 ahli cawangan Kampung Pondok Kempas keluar parti kerana membantah projek pembinaan kubur Cina seluas 80 ekar di kampung itu.

Setiausaha Umno bahagian, Ghazali Muhamad berkata, mereka tidak keluar parti tetapi mengugut berbuat demikian supaya kerajaan negeri memenuhi tuntutan mereka dengan membatalkan projek pembinaan kubur berkenaan.

“Tetapi kerajaan negeri telah membuat keputusan projek itu diteruskan kerana tanah itu milik individu dan status tanah ialah geran besar iaitu boleh digunakan untuk apa sahaja projek termasuk pembinaan kubur Cina.

“Syarikat pemaju membiayai sepenuhnya projek pembinaan tersebut untuk penduduk Cina daerah itu dan difahamkan juga dari seluruh Melaka.

“Ia adalah tanah perkuburan tunggal untuk kaum Cina di Jasin,” katanya kepada Malaysiakini , mengulas laporan 80 ahli Umno cawangan Kampung Pondok Kempas keluar parti kerana tidak puas hati dengan projek pembinaan tanah perkuburan Cina itu.

Bekas ketua Wanita Umno Cawangan Pondok Kempas, Kalsom Rejab dilaporkan berkata, penduduk kecewa kerana tiada seorang pun pemimpin negeri turun padang untuk menyelesaikan masalah yang berlaku sejak Mei lalu.

Bina masjid

Ghazali berkata, syarikat pemilik kubur Cina berkenaan setuju memberi tanah seluas empat hektar untuk kawasan perkuburan Islam di kampung berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan akan turut membina sebuah masjid di atas tanah tersebut kerana kampung itu belum mempunyai masjid dan yang terdekat terletak kira-kira tujuh kilometer.

Katanya, ada lebih 120 rumah orang Melayu di kampung berkenaan yang terletak kira-kira lapan kilometer dari pekan Jasin.

Ghazali berkata, Umno bahagian telah mengadakan perbincangan dengan penduduk kampung berkenaan mengenai isu tersebut tetapi masih ada yang kurang puas hati.

Mereka yang tidak puas hati itu, mendakwa tidak selesa kerana tanah perkuburan Cina berada di kampung mereka.

“Kita memberitahu mereka supaya bertolak ansur kerana tinggal dalam masyarakat majmuk, lagipun pemajunya memberi jaminan kawasan perkuburan Cina akan diurus dengan baik,” katanya.

ADS