Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lapan lagi dijangkiti H1N1 dari UiTM
Diterbitkan:  Jul 15, 2009 3:39 PM
Dikemaskini: 12:17 PM

Lapan lagi mahasiswa disahkan positif diserang virus selesema A (H1N1), semuanya pernah berhubung dengan mereka yang dijangkiti wabak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka.

Mereka antara 14 kes tempatan daripada 21 kes terbaru yang dikesan hari ini, menjadikan jumlah kesemuanya 825 kes - daripada jumlah ini, 263 kes dikelaskan jangkitan tempatan.

Seramai 20 pesakit baru menerima rawatan sebagai pesakit luar di rumah, manakala seorang dirawat di hospital kerana komplikasi dehidrasi, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

"Pesakit influenza A (H1N1) yang sedang dirawat di hospital berjumlah 25 orang atau 3 peratus, manakala sejumlah 97 atau 11.8 peratus menerima rawatan sebagai pesakit luar di rumah," katanya.

Dalam tempoh 24 jam lepas, tambahnya, tiada gugusan kes penularan wabak influenza A (H1N1) dalam komuniti dilaporkan

"Kejadian terakhir adalah di UiTM Lendu, Alor Gajah. Situasi adalah

terkawal dan Pusat Kesihatan UiTM sedang mengambil langkah

kawalan dan pencegahan," kata Dr Mohd Ismail.

Tambahnya, diakui bahawa penggunaan vaksin boleh melindungi seseorang daripada dijangkiti virus A (H1N1) atau mengurangkan komplikasi jangkitan.

"Vaksin ini dijangka akan berada di pasaran menjelang Oktober 2009. Kementerian akan mendapatkan bekalan vaksin ini untuk digunakan oleh anggota yang bertugas di barisan hadapan," kata Dr Mohd Ismail lagi.

"Ini bertujuan bagi memastikan perkhidmatan perubatan dan perkhidmatan asas terjaga dan berterusan semasa krisis berlaku."

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan vaksin selesema tersebut tidak akan dapat dihasilkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang walaupun banyak negara merancang menjalankan program pelalian besar-besaran bagi membendung wabak tersebut - yang dianggap "tidak boleh dihalang lagi."

"Tidak terdapat vaksin. Hanya satu yang tersedia dalam masa terdekat, bulan Ogos. Tetapi mempunyai vaksin tidak sama dengan mempunyai vaksin yang terbukti selamat," ketua WHO Margaret Chan dipetik berkata agensi berita AFP .

"Data ujian klinik tidak akan tersedia dalam tempoh dua hingga bulan lagi," tambahnya, menolak pengumuman pegawai kesihatan di beberapa negara bahawa stok pertama akan siap bulan depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS