Kjaan disaran hapuskan kuasa mutlak MB beri tanah, projek

comments     Nash Rahman     Published     Updated

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim disaran mencadangkan kepada mesyuarat mingguan Kabinet supaya dihapuskan kuasa mutlak yang diberikan kepada Menteri Besar untuk memberi tanah dan projek bagi mengelak kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa.

Ketika membuat saranan itu, aktivis media Ahmat Lutfi Othman berkata, kuasa itu memungkinkan ia digunakan sewenang-wenangnya untuk memberi tanah dan projek kepada orang yang dikehendaki.

Perlu ada badan pengawas selepas kuasa mutlak Menteri Besar disekat. Maklumat tentang kelulusan tanah dan projek mesti dimaklumkan, kata Lutfi dalam surat yang dihantar kepada Rais hari ini.

Lutfi mendapat perhatian umum apabila beliau baru-baru ini membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Menteri Besar Selangor Datuk Dr Mohd Khir Toyo yang didakwanya melakukan penyelewengan dalam pemberian tanah dan projek di Selangor.

Lutfi dijadualkan bertemu dengan Rais yang bertanggungjawab mengenai bidang kehakiman, pagi ini. Bagaimanapun, menteri berkenaan telah menangguhkan pertemuan kerana sibuk dengan tugasnya.

Sistem harus diperbaiki

Lutfi mendakwa pada masa ini, maklumat tentang tanah kosong, misalnya, hanya diketahui oleh pihak tertentu, dan keadaan memungkinkan berlakukan perbuatan rasuah oleh mereka yang ingin mendapatkan hakmilik tanah berkenaan.

Sistem yang memberi peluang kepada berleluasanya rasuah hendaklah diperbaiki secara menyeluruh, selain kita menggantikan pemimpin yang mengamalkan korupsi dan penyalahgunaan kuasa, katanya lagi.

Lutfi juga menyarankan supaya BPR harus bertanggungjawab langsung kepada Parlimen dan mengemukakan laporan tahunan kepadanya.

Imej ketua pengarah BPR mesti mencerminkan kewibawaan dan kesungguhan badan bebas ini untuk membanteras amalan rasuah sehingga ke akar umbi, tambahnya.

Lutfi percaya Rais mempunyai bidang kuasa yang memadai untuk memulakan usaha memerangi rasuah dengan lebih serius lagi.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In