eksklusif kemaskini 4.11pm Setiausaha akhbar presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi korban awal dalam pergelutan dua aliran besar dalam parti itu khususnya berhubung kerajaan perpaduan dan rundingan sulit dengan Umno.

Roslan Shahir Mohd Shahir, yang juga seorang penulis blog, digugurkan daripada jawatannya tersebut setelah satu mesyuarat pemimpin atasan parti menerima bantahan terhadap peranannya.

Selain mesyuarat sebulan lalu, selepas muktamar PAS awal Jun, surat aduan tentang sikapnya - yang dianggap antara tokoh utama di belakang kempen mengekalkan timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa - dalam usaha menentang gerakan "kumpulan Erdogan" menjelang persidangan tahunan PAS itu.

roslan sms shahir mohd shahir Sejak tahun lalu, Roslan berdepan dengan beberapa tuduhan di dalam dan di luar parti, termasuk di internet, berhubung pergeseran dalaman sehingga pernah dilabelkan memainkan "peranan subversif" untuk menyingkirkan "kumpulan Erdogan".

Bagaimanapun Roslan, yang dilantik semula sebagai ketua penerangan PAS Selangor hujung tahun lepas, enggan mengulas lanjut dengan alasan Abdul Hadi menasihatkan beliau agar tidak memberikan sebarang respons.

Roslan pernah dicabar menafikan terlibat berkempen untuk menyingkirkan "kumpulan Erdogan", antaranya Datuk Husam Musa - yang tewas di tangan Nasharuddin dalam pemilihan di muktamar bulan lepas.

Susulan sikapnya itu, beliau ditewaskan sebagai yang dipertua PAS kawasan Kelana Jaya dalam muktamar peringkat bahagian April lalu.

Dihubungi semalam, Roslan mengesahkan beliau tidak lagi berkhidmat dengan Abdul Hadi selepas muktamar.

Beliau, juga dikenali dengan nama penanya Roslan SMS, bagaimanapun menafikan dipecat ekoran desakan beberapa pemimpin beraliran Erdogan dalam PAS.

"Bukan gugur. Kalau gugur, sudah tentu ada pengganti (saya)," katanya kepada Malaysiakini , sambil menambah kekosongan itu sehingga kini masih belum diisi.

Beliau juga berkata tidak tahu-menahu sama ada benar tentang desakan dalam jawatankuasa PAS pusat yang bersidang 11 Jun lalu supaya presiden melucutkan jawatannya.

"Saya tidak tahu, saya tidak ada dalam mesyuarat itu," katanya.

Satu sumber parti itu menyatakan, Abdul Hadi menerima desakan tersebut yang ditimbulkan beberapa ahli jawatankuasanya tanpa banyak soal. Satu sumber lagi bagaimanapun mendakwa Abdul Hadi ingin mengekalkan Roslan walaupun selepas didesak.

Sebelum muktamar, difahamkan terdapat aduan bertulis berhubung tindakan Roslan yang sering mengeluarkan kenyataan kepada umum, terutamanya melalui blog peribadinya, didakwa tanpa berbincang dengan parti terlebih dahulu.

Sumber-sumber mendakwa, "jawapan berkias" Roslan terdapat dakwaan itu disiarkan dalam dua artikel di blognya "Apa itu blog?" dan "Apa itu blog (bahagian 2)" masing-masing pada 23 dan 24 Jun lalu.

"Jangan kita me-Myammar-kan penulis blog. Atau memang ada mentaliti junta Myanmar di kalangan kita khasnya terhadap penulis blog," tulisnya dengan nada menyindir di blog Roslan SMS Corner .

Beliau tidak menyebut khusus kepada mana-mana pihak yang dimaksudkanya "me-Myammar-kan penulis blog" selepas menyenaraikan sepuluh negara yang mengharam atau mengawal blog, antaranya Burma, Iran, Syiria dan Arab Saudi.

Mengulas lanjut pelantikannya ke jawatan itu, Roslan berkata, perkhidmatannya dengan Abdul Hadi ditawarkan selama sepenggal, bermula dari 2007.

Beliau juga tidak pasti sama ada akan dilantik semula atau tidak. Bagaimanapun, tambahnya, jika ditawar kembali, beliau membayangkan ingin menolaknya.

"Kemungkinan besar tidaklah. Saya nak balik (tumpukan) pada (PAS) Selangor," katanya.

"Dulu dilantik pun saya tak minta. Tetapi dah diminta, saya terimalah. Saya sudah berikan perkhidmatan kepada presiden. Kalau ada yang tak suka, saya tak boleh buat apa."

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini