Pro-ISA marah Khairy larang demo

       

kemaskini 12.30pm Kumpulan penyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyelar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kerana bersikap berkecuali dan menghalang ahli pergerakan itu menyertai demonstrasi besar Sabtu ini.

khairy jamaluddin interview 230209 13 "Lagi baik diam daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan perpecahan golongan Melayu.

"Melayu semakin lemah dan hanya berani dalam dewan," kata Timbalan Presiden II Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun.

"Kilang Umno tidak lahirkan lagi singa, yang ada umpama ayam daging yang diternak dalam kandang yang menunggu diberi makan atau disembelih," tegasnya.

Menyifatkan itu hanya pandangan peribadi Khairy sahaja, Rahimuddin berkata, masih ramai ahli Pemuda Umno yang menyatakan sokongan kepada mereka – yang menganjurkan "1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA" - untuk berdepan dengan Himpunan MANSUH anjuran penentang ISA.

"Ribuan lagi ahli Pemuda Umno yang bersama kami. Pemimpin (yang) dibeli, golongan bangsawan, memang takut disirami hujan, bom (meriam) air atau panas matahari," katanya sinis, sambil mendakwa Khairy hanya mempunyai 200 penyokong setia.

Ahli parlimen Rembau, yang juga pengerusi Pemuda BN, turut diminta mempersoalkan pendirian Pemuda Gerakan menyatakan dukungan secara terbuka terhadap perhimpunan anti-ISA.

Pada 13 Julai lalu, Pemuda Gerakan menyatakan ia telah menulis surat kepada penganjurnya Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menyatakan sokongan terhadap – dan terbabit dalam – demonstrasi tersebut.

Pewaris dan lebih sepuluh NGO Melayu yang mendukung akta tersebut dijadual bermesyuarat tengah hari ini di ibu negara bagi membincangkan persediaan rapi menjelang perhimpunan Sabtu ini yang tinggal tidak sampai lima hari.

Ribuan penyokong pembangkang dan aktivis 83 NGO bersama GMI merancang bergerak mulai 2 petang dari tiga lokasi – kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara – dengan berpakaian hitam dan merah.

Sementara penyokong ISA berhimpun di tiga lokasi di tengah Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Dataran Merdeka pada 1 tengah hari (lihat peta di bawah) .

Mulai 11 pagi, mereka yang berpakaian putih dijadual berhimpun di Pasar Seni, Masjid Negara dan Padang Merbok, sebelah Bank Negara, sebelum menurunkan tandatangan di atas kain rentang gergasi sepanjang 200 kaki di dataran tersebut dan kemudian berarak ke Istana Negara.

NONE
Malaysiakini
terkini untuk anda