dikemaskini PAS mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memutarbelitkan kenyataan Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung kesediaan menteri besar itu melupakan sengketa dengan kerajaan pusat.

"Muhyiddin jangan putar belit. Yang tuan guru maksudkan, isu kerajaan pusat dengan kerajaan negeri, bukan hubungan Umno-PAS.

"Yang dia hendak bawa dalam (mesyuarat) Majlis Tertinggi Umno apa perlunya?" soal Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Ahli parlimen Kubang Kerian mengulas kenyataan timbalan perdana menteri semalam yang dilaporkan berkata, MT yang bersidang pada 31 Julai akan membincangkan langkah awal ke arah merapatkan hubungan kedua-dua parti itu.

Reaksi Muhyiddin itu susulan kenyataan Nik Aziz kelmarin yang dilaporkan sedia berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan PAS Kelantan dengan kerajaan persekutuan dalam usaha menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.

Mengulas lanjut dakwaan manipulasi itu, Salahuddin berkata kenyataan Nik Aziz dibuat atas prinsip hubungan negeri dan persekutuan dalam sistem federalisme di Malaysia.

"Kita bercakap soal 'G to G' (kerajaan dengan kerajaan). Saya tegaskan, PAS sedia berdialog berhubung isu Kelantan dan kerajaan pusat atas prinsip 'G to G'.

"Kenapa hendak sebut dalam mesyuarat MT, sepatutnya (disebut) dalam mesyuarat kabinet," katanya.

Sebelum ini, Nik Aziz juga dilaporkan berharap perselisihan pendapat yang timbul - terutama sewaktu kempen pilihanraya kecil DUN Manek Urai 14 Julai lalu - dilupakan dan kedua-dua pihak kembali kepada semangat persaudaraan Islam.

Muhyiddin pula dilaporkan memberikan reaksi bahawa mesyuarat MT Umno itu juga mungkin akan menentukan wakil parti itu untuk berbincang dengan pemimpin PAS.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini