Kerajaan negeri Pulau Pinang melakukan kesilapan apabila memindahkan hakmilik Kampung Buah Pala kepada sebuah koperasi tanpa mendapat persetujuan bertulis dari penduduknya, kata seorang peguam Malaysia di London hari ini.

P Apalasamy berkata oleh kerana kawasan kampung itu di bawah Amanah Perumahan Brown, maka pemiliknya mesti secara bersama memberi persetujuan bertulis, yang merupakan satu dokumen perundangan yang sah untuk membubarkan pegangan amanah tersebut.

"Tanpa dokumen tersebut, mana-mana kerajaan tidak boleh membubarkan pegangan amanah itu dan memindahkan hakmiliknya kepada pihak lain.

"Kerajaan negeri DAP sekarang perlu mendapatkan dokumen tersebut untuk membuktikan pegangan amanah itu telah dibubarkan mengikut undang-undang," kata Apalasamy, yang berkhidmat sebagai peguam di United Kingdom sejak berpindah dari Sitiawan, Perak lebih 20 tahun lalu.

Beliau memberitahu Malaysiakini demikian sewaktu berlangsungnya demonstrasi selama 40 minit anjuran Hindraf cawangan UK di London semalam bagi menyokong penduduk Kampung Buah Pala.

Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy turut menyertai demonstrasi tersebut yang diadakan di luar bangunan Tourism Malaysia di Trafalgar Square.

"DAP mempunyai tanggungjawab untuk menyelamat dan memelihara Kampung Buah Pala. Ia tidak ada pilihan lain," katanya.

Esok merupakan tarikh akhir perintah penduduk Kampung Buah Pala berpindah dari kawasan tersebut yang akan dimajukan dengan projek kondominium mewah - the Oasis - oleh syarikat Nusmetro Venture.

Pihak pemaju telah memberi tempoh kepada penduduk di situ sehingga 3 Ogos untuk berpindah sebelum 20 buah rumah di situ dirobohkan untuk memulakan projek tersebut.

Bagaimanapun, minggu lalu, kerajaan negeri Pulau Pinang telah membatalkan kebenaran untuk memajukan kawasan tersebut dan tidak jelas sama ada pihak pemaju akan meneruskan tindakan memindahkan penduduk di situ esok.

Baca berita penuh