Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Saman Anwar terhadap Rahim Nor ditangguhkan menunggu keputusan rundingan

Peguam pihak kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk mencari penyelesaian luar mahkamah dalam kes saman Anwar terhadap bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor kerana memukulnya pada 1999.

Berikutan itu, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, memohon kepada Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Hamid Said supaya menangguhkan sementara kes bagi membolehkan kedua-dua belah pihak, berunding untuk mencari penyelesaiannya.

Hakim Abdul Hamid bersetuju kes itu ditangguhkan sehingga 22 Mei depan.

Saman Anwar yang dikemukakan tiga tahun lalu, turut menamakan kerajaan dan menteri dalam negeri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, sebagai defenden. Ketika ditemui pemberita, Karpal tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai bentuk penyelesaian terhadap kes itu.

Bagaimanapun, katanya, kes saman itu akan diteruskan di mahkamah Mei ini sekiranya kedua-dua pihak gagal menyelesaikanya di luar mahkamah.

Dalam afidavitnya, Anwar telah memohon mendapatkan gantirugi, termasuk faedahnya sekali, kos dan gantirugi lain yang dirasakan perlu.

Mata lebam

Selepas disingkir daripada Umno dan kerajaan pada 1988 kerana didakwa terbabit dalam salahlaku seks, beliau telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mengepalai gerakan reformasi.

Sewaktu dalam tahanan, Anwar mendakwa Rahim memukulnya sehingga berdarah dan Rahim juga bertanggungjawab terhadap sakit belakang yang dialaminya hingga sekarang.

Anwar juga mendakwa beliau tidak diberi rawatan perubatan selama lima hari selepas kecederaannya itu, serta tidak diberi peluang membuat aduan polis mengenai kecederaaan yang dialaminya.

Dalam afidavitnya, Anwar juga mendakwa beliau dipukul di bahagian kiri muka yang mengakibatkan kesan calar di bahagian kiri dan bawa bibir matanya.

Kesan lebam pada matanya mengejutkan para pemerhati, sewaktu Anwar hadir pada hari pertama perbicaraan rasuah terhadapnya pada 1988. Bagaimanapun, tidak ramai yang sedar mengenainya sehinggalah gambar Anwar yang diambil oleh pihak polis selepas kejadian itu, disiarkan.

Berikutan itu, pihak kerajaan telah mengadakan siasatan di mana Rahim telah dituduh sebagai bertanggungjawab terhadap kecederaan itu.

Rahim didenda dan dipenjara

Pada 15 Mac 2000, Mahkamah Tengah mendapati Rahim bersalah, dan dijatuhkan hukuman dua bulan penjara dan denda RM2,000.

Rahim didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan yang membawa hukuman penjara maksima setahun atau denda maksima RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Rahim bagaimanapun gagal dalam rayuan kepada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, supaya hukuman terhadapnya diringankan.

Anwar hadir di mahkamah hari ini dengan memakai alat penyokong di leher dan korset kerana sakit belakang. Anwar dibantu oleh warden penjara masuk ke bilik mahkamah dan kelihatan tersenyum sewaktu menuruni anak tangga.

Selepas kesnya didengar Anwar dibawa ke Penjara Sungai Buluh menjalani hukuman enam tahun penjara bagi kesalahan rasuah dan sembilan tahun lagi penjara bagi kesalahan liwat.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS