BERITA

Demo anti-ISA: Pewaris mengadu pada Suhakam

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Ogs 2009, 12:24 tengahari

Kumpulan penyokong akta ISA hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung demonstrasi besar kumpulan anti-ISA kelmarin yang didakwanya mencabul hak asasi warganegara Malaysia.

Penasihat Undang-undang Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mendakwa, perhimpunan anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) secara jelas mencabuli lima hak warganegara yang digariskan dalam perlembagaan.

Beliau mendakwa, tindakan penunjuk perasaan anti-ISA yang lari ke arah orang awam di Chow Kit, Masjid India dan Masjid Jamek apabila polis menyuraikan mereka, telah menyebabkan pencabulan hak asasi seperti berikut:

bullet button Perkara 5(1), berkaitan kebebasan diri – menyebabkan orang awam terperangkap dalam premis perniagaan tanpa kerelaan, seolah-olah dipenjarakan.

bullet button Perkara 6(2), berkaitan keabdian dan kerja paksa dilarang – memaksa dan memanipulasi anak kecil, wanita dan orang tua untuk terlibat berdemonstrasi “demi simpati murahan”.

bullet button Perkara (9)1, berkaitan larangan buang negeri dan kebebasan bergerak – menafikan kebebasan orang awam membeli belah dan bersiar di ibu kota semasa perhimpunan itu.

bullet button Perkara 10b, berkaitan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan – menafikan hak berhimpun orang awam yang lain daripada mengadakan program peribadi dan perniagaan.

bullet button Perkara 13(1), berkaitan hak terhadap harta – menyebabkan banyak harta awam dan peniaga rosak berpunca daripada demonstrasi itu.

NONE Mohd Khairul Azam yang membuat aduan tersebut bagi pihak Magaran, menamakan pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dan tiga pemimpin utama pembangkang sebagai perlanggar utama hak-hak tersebut.

Mereka adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin popular DAP, Lim Kit Siang.

“Kami mohon Suhakam menyiasat pelanggaran lima hak asasi orang awam ini dan kemukakan syor yang sepatutnya.

“Kami mohon Suhakam menyiasat dan mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan aduan yang kami buat ini,” katanya dalam sidang media sejurus laporan itu dibuat di ibu pejabat Suhakam di Kuala Lumpur.

Timbalan Pengerusi II Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun dan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan & Dakwah Islamiah Semalaysia (Pekida) Selangor, Zainal Hashim turut hadir.

Menurut Mohd Khairul Azam, aduan mereka diserahkan kepada seorang pegawai di bahagian aduan Suhakam, kerana pesuruhjayanya mempunyai tugas rasmi di tempat lain pada masa itu.

Ditanya tentang hak dan kebebasan GMI mengadakan perhimpunan awam, Mohd Khairul Azam berkata:

“Ini bukan persoalan telur dan ayam, yang mana dahulu. Ini berkenaaan undang-undang. Kita ajar anak-anak kita patuhi undang-undang. Apabila kena batang hidung sendiri, kenapa kita tidak patuh?

NONE “Memang hak kamu untuk memohon, tetapi hak orang yang dipohon juga untuk memberi kebenaran atau tidak. Kalau kamu seorang anak minta RM10, wajib ke bapa bagi RM10 kepada kamu?” soalnya.

Kira-kira 20,000 orang membanjiri ibu negara kelmarin untuk menyertai perhimpunan anti-ISA anjuran GMI.

Mereka berdepan dengan anggota polis yang melepaskan tembakan gas pemedih mata serta tembakan meriam air di lokasi perhimpunan di kompleks membeli-belah SOGO, sekitar Masjid Jamek, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Dataran Merdeka, di Masjid Negara serta di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Kumpulan pro-ISA pula – yang jumlah penyokongnya jauh lebih kecil – bersurai setelah dihalang polis di Jalan Tun Sambanthan.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.