Pemandu lori mendakwa anaknya, 15 tahun, diperguna untuk menyertai demonstrasi membantah akta ISA pada Sabtu lepas dengan memberi baju merah "untuk menjaga keselamatan."
Abdul Aziz Ibrahim, 45, mendakwa anaknya Muhamad Azreen dibawa oleh penganjur dari sebuah parti pembangkang tanpa kebenarannya, lapor Bernama petang ini.
Bagaimanapun, Abdul Aziz dipetik berkata, anaknya dan 25 lagi peserta yang mengikuti rombongan itu terlibat dalam kemalangan jalan raya di Bukit Beruntung, Selangor pada 6 pagi Sabtu lepas.
"Anak saya cedera di bahagian mata kanan dan mulut. Pihak penganjur bersikap lepas tangan selepas kejadian itu," katanya kepada pemberita di rumahnya di Butterworth.
Muhamad Azreen - dan mereka yang tercedera - dirawat di Hospital Sungai Buloh dihantar pulang ke rumahnya di Permatang Rawa, pagi Ahad lepas.
"Semalam wakil penganjur bawa anak saya ke hospital di sini tetapi hari ini kami terpaksa membawa Azreen sendiri ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," Abdul Aziz dipetik berkata.
Tambahnya, beliau tidak pernah memberi kebenaran untuk anaknya
menyertai sebuah unit dalam parti pembangkang itu atau untuk menyertai demonstrasi itu.
Agensi berita itu tidak menyebut unit terserbut dan parti pembangkang yang dimaksudkan tetapi beliau dipercayai merujuk Unit Amal PAS yang memakai baju merah pada hari demonstrasi, 1 Ogos lalu.
Muhamad Azreen pula berkata 20 daripada peserta rombongan yang terdiri pelbagai lapisan umur itu adalah penduduk kampung dan enam lagi merupakan orang luar.
"Saya bayar RM35 untuk mengikuti rombongan itu dan saya diberitahu oleh penganjur bahawa kami pergi untuk menjaga keselamatan dan kami diberi sehelai baju berwarna merah untuk dipakai," katanya, seorang pelajar SM Permatang Rawa.
Beliau, yang menyertai unit itu sejak tiga tahun lepas, berkata
dua peserta rombongan itu mengalami kecederaan teruk dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.
ADUN Seberang Jaya, Arif Shah Omar Shah, yang melawat Muhamad Azreen di rumahnya, menasihati ibu bapa membuat laporan polis jika mendapati anak mereka dipergunakan untuk tujuan demonstarsi itu.
Kira-kira 20,000 orang menyertai perhimpunan anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dalam cubaan mereka menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendesak pemansuhan ISA.
Diminta mengulas dakwaan ini, Pemuda PAS menyatakan ia akan menyiasatnya sebelum mengeluarkan kenyataan.
Dewan itu juga menegaskan keanggota Unit Amal Pemuda PAS, yang melibatkan remaja, adalah sukarela, termasuk tiada paksaan untuk menyertai perhimpunan anti-ISA.