Persatuan Ulama Malaysia (PUM) bersetuju menyertai muzakarah PAS-Umno kerana usaha mewujudkan perpaduan umat Islam di negara ini perlu mendapat sokongan semua pihak, kata presidennya Abdul Ghani Shamsudin hari ini.
Baguslah jika skop muzakarah itu diperluaskan supaya sama-sama kita bergabung fikiran untuk mencari penyelesaian dalam isu perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara kita, katanya kepada malaysiakini .
Semalam, presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ahmad Azam Abdul Rahman berkata muzakarah PAS-Umno boleh menjadi kenyataan sekiranya pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam tempatan turut dijemput sama untuk menjayakannya.
Menurut Azam, ini kerana soal perpaduan orang Melayu dan Islam bukan hanya membabitkan Umno dan PAS sahaja, tetapi seluruh bangsa Melayu, sama ada yang menyertai parti politik ataupun pertubuhan bukan politik.
Azam berkata, ianya juga boleh dianggap sebagai langkah pertama ke arah menghidupkan semula peluang untuk mengadakan muzakarah sepertimana yang dicadangkan oleh Umno itu.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata bahawa kerajaan negeri PAS bersedia berbincang dengan Umno mengenai pelaksanaan undang-undang Islam yang berkaitan dengan hukum jenayah hudud dan qisas.
Hukum qisas adalah hukuman balas bagi kesalahan yang dilakukan dengan sengaja, umpamanya nyawa dibalas dengan nyawa, melukakan dibalas dengan luka, mencedera dibalas dengan mencederakan.
Semangat persaudaraan
Mengulas lanjut mengenainya, Abdul Ghani percaya usaha ke arah menganjurkan muzakarah PAS-Umno itu akan menjadi kenyataan sekiranya ia dilakukan dalam semangat persaudaraan sesama Islam.
Sebaik-baiknya kita jangan menyalah satu sama lain. Sebaliknya kita hendak memikirkan bagaimana usaha dapat digabung untuk meningkatkan perpaduan Melayu dan syiar Islam di negara ini, katanya.
Mengenai aduan PUM kepada Majlis Raja-Raja mengenai tulisan beberapa penulis tempatan yang didakwanya menghina Islam, Abdul Ghani berkata: Kita kini menunggu keputusan yang akan dibuat oleh Majlis Islam Kebangsaan.
Sebelum ini, mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini mengambil keputusan untuk merujuk memorandum yang dikemukakan oleh PUM kepadanya berhubung kes berkenaan, kepada Majlis Islam Kebangsaan.
Kalau keputusannya adil, kita akan menerimanya. Tetapi jika sebaliknya, PUM mempunyai amanah untuk mengambil tindakan sewajar untuk memastikan tulisan seumpama tidak berulang, katanya.
