BERITA

GMI: Najib gagal lihat mesej anti-ISA

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Ogs 2009, 9:18 pagi

kemaskini 1.36pm Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih gagal melihat mesej anti-ISA apabila mahu menyediakan tempat yang sesuai bagi penunjuk perasaan menyuarakan pandangannya, kata Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

"Pertama, beliau (Najib) patut lihat pada mesej yang dibawa (penunjuk perasaan), bukan tempat berhimpun. Kita berhak berhimpun di mana-mana pun.

"Kedua, bukan tidak pernah ada perhimpunan di stadium, tetapi tidak ada tindak balas kerajaan.

"Jadi, tidak timbul isu di mana (demonstrasi), tetapi apakah tindak balasnya (berhubung demonstrasi rakyat)," kata Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau diminta mengulas kenyataan Najib pada Ahad lalu yang berjanji menyediakan tempat yang bersesuaian bagi mengadakan perhimpunan bagi mengelak penunjuk perasaan "membuat kacau" di jalan.

Syed Ibrahim berkata, cadangan Najib itu hanyalah "perkara teknikal semata-mata".

"Soalnya, apa jaminan kerajaan akan mendengarnya? Mereka patut lihat tuntutan rakyat. Mereka (rakyat) datang dari setiap pelusuk negeri tanpa sebarang imbuhan.

"Soal (perhimpunan) di stadium atau tidak, itu pada saya persoalan teknikal semata-mata," katanya kepada Malaysiakini .

Buat masa ini, GMI belum berbincang bagi mengadakan demonstrasi susulan berhubung kesediaan Najib menyediakan tempat berhimpun itu, katanya.

Mengulas siasatan polis terhadap 11 individu, termasuk beliau sendiri, Syed Ibrahim berkata, sehingga kini beliau belum dihubungi untuk memberi keterangan.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.