Most Read
Most Commented
Read more like this

Pengarah eksekutif pertubuhan Sisters in Islam Zainah Anwar dan penulis veteran Kassim Ahmad hari ini menafikan laporan bahawa mereka telah dipanggil ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk diberi nasihat berhubung tulisan mereka yang didakwa menghina Islam.

Kedua-dua penulis itu berkata mereka ada bertemu dengan pegawai Jakim tetapi mengenai perkara lain dan bukan khusus mengenai aduan yang dibuat oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM) terhadap mereka.

Semalam, Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Noh Omar berkata, beberapa penulis kontroversi termasuk Zainah dan Kassim dan kolumnis malaysiakini dan New Straits Times Dr Farish Nor telah dipanggil dan diberi nasihat dan amaran lisan supaya berhenti menulis di luar batasan yang dibenarkan.

Apabila ditanya mengenainya hari ini, Zainah berkata: Tidak. Saya memang mengadakan pertemuan dari masa ke semasa dengan Jakim mengenai perkara yang berkaitan dengan Islam, tetapi bukan mengenai isu berkenaan.

Institusi di negara ini perlu mengiktiraf hak kami untuk bercakap mengenai isu yang berkaitan dengan kepentingan nasional. Tidak ada sebab untuk menyekat kami berbuat demikian, tambahnya.

Tidak tahu

Sementara itu, Kassim berkata, beliau tidak tahu apa-apa tentang laporan mengenai perjumpaannya dengan Jakim berhubung tulisannya.

Noh, semasa menjawab soalan wakil PAS dari Kuala Terengganu, Dr Syed Azman Syed Nawi di Dewan Rakyat semalam berkata, turut dipanggil ialah penerbit akhbar the News Straits Times , Utusan Malaysia dan The Sun .

Bagaimanapun, ketika dihubungi hari ini, ketua pengarang The Sun , Zainon Ahmad berkata dia tidak tahu menahu mengenai perkara itu. Jurucakap NST dan Utusan Malaysia bagaimanapun tidak dapat dihubungi, begitu juga dengan Dr Farish.

Januari lalu, PUM telah menghantar memorandum kepada Jakim meminta jabatan itu mengambil tindakan terhadap beberapa penulis yang didakwanya membuat kenyataan yang menghina Islam. Memorandum yang sama turut dihantar kepada Majlis Raja-Raja Februari lalu.

Selepas menelitinya, Majlis Raja-Raja telah merujuk perkara kepada Majlis Hal-Ehwal Islam Kebangsaan yang dijadualkan bermesyuarat Isnin depan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS