Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: H1N1 ancam negara, elak tempat awam
Diterbitkan:  Aug 7, 2009 7:17 AM
Dikemaskini: 5:46 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata wabak influenza A (H1N1) kini ancaman serius kepada negara dan menasihati orang ramai supaya tidak menghadiri majlis perhimpunan di tempat awam.

Beliau meminta semua rakyat mengambil langkah pencegahan secara menyeluruh ekoran angka kematian H1N1 meningkat kepada sekurang-kurangnya 15 orang hari ini dan banyak sekolah dan institusi pendidikan tinggi ditutup kerana terdapat kes jangkitan.

"Kalau (majlis) perhimpunan itu tidak perlu, tidak perlulah melainkan ada sesuatu mendesak.

"Tapi bila ada perhimpunan, kita akan tambah risiko kita kerana penyakit ini akan merebak," katanya selepas merasmikan Konvensyen Industri Sukan Malaysia di ibu negara, lapor Bernama .

Selain menangguhkan kegiatan di kawasan umum, Najib berkata langkah pencegahan dengan menjaga kebersihan diri boleh dilakukan seperti membasuh tangan dan memakai topeng terutama ketika berada atau hadir dalam majlis yang terbuka.

"Dari segi kesihatan kebersihan, kita hendaklah selalu mencuci tangan. Sebelum saya masuk tadi, saya telah cuci tangan sebab saya telah bersalaman dengan begitu ramai orang," katanya.

"Kalau kita perlu memakai topeng, pakailah. Tidak ada apa-apa kerugian."

Dalam perkembangan lain, perdana menteri turut berkata rakyat harus menghormati peringatan yang diberikan oleh Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah mengenai tujuh wasiat Raja-raja Melayu.

Beliau berkata ini adalah kerana pertautan di antara raja dan rakyat penting dan telahpun termaktub dalam sejarah Melayu.

Katanya, di antara rakyat dan raja, masing-masing mempunyai tanggungjawab dan peranan tertentu dalam sesebuah negara.

"Kita hormatilah pandangan Raja-raja Melayu dan yang penting sekali ialah institusi diraja ini adalah berpaksi kepada dukungan rakyat dan juga pertautan antara raja dan rakyat itu penting," katanya.

ADS