Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kempen besar-besaran kawal H1N1
Diterbitkan:  Aug 10, 2009 7:18 PM
Dikemaskini: Aug 11, 2009 3:00 AM

Kerajaan akan melancarkan satu kempen besar-besaran minggu ini untuk menyedarkan orang ramai tentang bahaya penyakit selesema A (H1N1) setelah wabak itu makin serius, kata perdana menteri.

Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan juga akan menyediakan ubat antivirus di hospital dan klinik awam di seluruh negara, lapor Bernama .

"Langkah yang paling berkesan ialah melalui proses mendidik orang ramai iaitu memberikan panduan kepada rakyat Malaysia," katanya selepas melancarkan bangunan baru Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur hari ini.

Sehingga hari ini, 32 orang meninggal dunia dan 1,983 orang dijangkiti penyakit itu di negara ini, termasuk 15 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Stok antivirus ditambah

Najib juga menasihatkan mereka yang mengalami demam supaya lebih

berhati-hati dan mengelak daripada berkunjung ke tempat awam.

"Sekiranya demam, langkah paling baik ialah berehat di rumah sampai pulih, kerana kalau keluar, takut akan menjangkiti orang lain nanti.

"Kalau di rumah pun, mereka dinasihatkan supaya memakai topeng untuk elak daripada menjangkiti ahli keluarga," katanya.

Tambahnya, stok antivirus akan ditambah daripada 10 peratus bagi lebih 27 juta jumlah penduduk kepada 20 peratus, dan penambahan ini melibatkan peruntukan tambahan RM20 juta.

"Kementerian Kesihatan melalui hospital dan klinik akan menyediakan

antivirus secara lebih luas supaya lebih ramai rakyat boleh dapat suntikan untuk bantu mengelak dijangkiti virus yang lebih memudaratkan," katanya.

Sidang khas Parlimen

Agensi berita yang sama juga melaporkan desakan seorang pemimpin kanan PAS agar Parlimen mengadakan satu persidangan khas bagi

membincangkan wabak tersebut yang disifatkannya "ancaman kepada keselamatan negara".

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dilaporkean berkata, kertas putih mengenai pelan tindakan menangani jangkitan penyakit itu perlu dibentangkan di Parlimen.

Ahli parlimen Pokok Sena juga mencadangkan penubuhan jawatankuasa keselamatan negara dengan segera agar langkah-langkah pencegahan yang lebih serius dapat diambil.

"Kuarantin harus diperketatkan seperti di Mexico di mana seseorang yang dijangkiti penyakit itu dikuarantinkan dengan ketat, dan mereka berjaya mengawal situasi ini daripada menjadi lebih teruk," Mahfuz dipetik berkata.

ADS