dikemaskini Mahkamah Koroner yang mendengar inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu bahawa berdasarkan beberapa bukti, terdapat kemungkinan setiausaha politik itu membunuh diri.
Pakar Perunding Kanan Perubatan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Dr Khairul Azman Ibrahim, 51, berkata pendapatnya itu berdasarkan ketiadaan unsur pergelutan yang jelas dekat tingkap yang dipercayai tempat Teoh terjatuh dari Tingkat 14 Plaza Masalam yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, pada 16 Julai lepas.
"Buktinya tiada kesan darah, kesan pecah dan barang berterabur dekat tingkap tersebut, dan juga sebatang pen SPRM yang terdapat dalam poket mangsa masih berada di situ.
"Juga dari hasil DNA tidak ada terdapat kesan-kesan DNA dari pegawai SPRM dan juga kesan kecederaan yang dialami tidak menunjukkan apa-apa pergelutan dan ia boleh diterangkan ia disebabkan oleh kesan jatuh.
"Pada saya ia lebih kepada bunuh diri," katanya ketika ditanya oleh Tan Hock Chuan, peguam yang dilantik oleh kerajaan bagi membantu dalam pengendalian inkues itu.
Teoh, 30, setiausaha politik pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung
Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor di tingkat lima plaza itu, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan Selangor kepada SPRM.
Dr Khairul Azman berpendapat kematian Teoh itu bukannya akibat dia dibunuh kerana tidak ada bukti kukuh yang menunjukkan berlaku sebarang pergelutan, manakala keadaan tempat kejadian tidak menunjukkan kesan darah dan kesan pecah serta barang bertaburan.
"Dari hasil DNA yang diambil daripada kakitangan SPRM yang berada di Tingkat 14, tiada bukti menunjukkan wujudnya kejadian tersebut. Yang menyokong hujah saya, saya percaya jika (ada) pergelutan, pen itu (berada dalam poket) akan tercampak," katanya.
Ditanya oleh Tan mengenai kemungkinan Teoh dilemaskan, Dr Khairul Azman berkata: "Tiada tanda-tanda si mati lemas atau tidak sedar diri semasa di atas."
Beliau juga menolak kemungkinan kematian disebabkan kemalangan kerana tiada bukti kukuh berdasarkan tempat kejadian (di Tingkat 14) adalah sukar untuk seseorang yang masih sedar tergelincir ketika berdiri di tepi tingkap kerana kawasan itu dilitupi karpet dan tidak licin.
"Bagaimanapun jika hendak dikatakan kemungkinan masih boleh lagi
difikirkan, ini kerana ini boleh berlaku ketika mangsa cuba membuka tingkap dengan seluas-luasnya dan mangsa berada dalam keadaan mengantuk.
"Tetapi hujah tersebut boleh kita pertikaikan kerana sekiranya jika dia tergelincir di tempat tersebut dan keadaan tingkap separas pinggang, sekiranya si mati terjatuh, kemungkinan si mati mendarat dengan cara lain.
"Mungkin kepala atau badannya dahulu, ini adalah kemungkinan sahaja," katanya.
Kepada satu soalan mengenai kemungkinan seseorang terjatuh dari tempat tinggi, Dr Khairul Azman berkata secara amnya beliau berpendapat ia boleh disebabkan sama ada si mati terjatuh secara tidak sengaja, jatuh dengan cara terjun sendiri dan kemungkinan dia dicampak keluar atau ditolak.
Sebelum itu, beliau berkata pendapatnya itu dibuat berdasarkan laporan bedah siasat dan toksikologi serta pemeriksaan di tempat kejadian yang dilakukan pada 16 Julai dan 22 Julai lalu.
Berdasarkan laporan toksikologi itu, saksi itu berkata, beliau mendapati Teoh tidak dipengaruhi dadah dan alkohol pada waktu kejadian. BERNAMA