Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News

Merendahkan kadar empat peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan tetap ditolak kerana masih mengandungi unsur riba, tegas pemimpin pelajar.

Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Abdullah Abdul Karim berkata isu tersebut masih belum selesai kerana ada pihak tertentu cuba menyembunyikan perkara sebenar.

"Mengurangkan kadar empat peratus kepada dua peratus (misalnya) bukanlah penyelesaian," katanya kepada malaysiakini hari ini, mengulas laporan akhbar yang menyebutkan tabung pendidikan itu bercadang menghapuskan kadar itu atau merendahkannya sekurang-kurangnya kepada separuh.

Akhbar New Straits Times hari ini melaporkan Pengerusi PTPTN, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah berkata kadar "caj perkhimatan" itu telah dikaji sejak tahun lepas dan "kemungkinan besar" akan dikurangkan.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Sumber-sumber memberitahu akhbar itu, kerajaan sedang menimbangkan perkara itu dan akan membuat keputusan tidak lama lagi.

Menurut Abdullah, kajian pemimpin pelajar seluruh negara mendapati kadar PTPTN itu diragui mempunyai "unsur riba" dan ia turut diakui oleh beberapa pakar agama di negara ini yang mereka temui.

"Kami telah menemui pegawai PTPTN dua minggu lepas, tetapi mereka gagal untuk menjelaskan kedudukan kadar empat peratus ini," jelas Abdullah, mengulas lawatan tabung itu di UKM sebelum ini.

Sementara itu Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Muhammad Faisal Abdul Rahman berkata kadar itu sebagai riba dan bercanggah dengan kaedah pinjaman menurut Islam.

"Penambahan empat peratus ke atas jumlah modal menurut sesetengah ulama adalah riba (seperti) yang dikenakan oleh pemiutang kepada penghutang," katanya, dalam satu tulisannya kepada malaysiakini .

Pinjaman penggunaan tetap riba

"Di sini saya mengkelaskan hutang PTPTN adalah pinjaman penggunaan (consumption loan) dan bukannya pinjaman produktif (productive loan)."

Berbeza dengan pinjaman produktif, ulama memutuskan pinjaman penggunaan dianggap sebagai riba, tulis Muhammad Faisal lagi. Malaysiakini akan menerbitkan tulisan itu Sabtu ini.

"Wujudnya kadar empat peratus itu seolah-olah kerajaan mengabaikan tanggungjawab sosialnya," katanya, apabila diminta mengulas laporan akhbar hari ini.

Tambah Muhammad Faisal, cadangan kerajaan untuk menimbang bagi menghapuskan kadar tersebut merupakan satu kejayaan pelajar sejak isu itu dibangkitkan awal Januari lalu.

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM675.3 juta untuk dana pinjaman PTPTN pada tahun 1999, RM1.3 bilion pada tahun lepas dan jumlah yang sama untuk tahun ini.

Seramai 203,000 pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini telah menerima bantuan dana tersebut sejak diperkenalkan pada 1997.

Pada 19 Januari lalu, 24 persatuan pelajar daripada universiti-universiti tempatan menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan bagi menggesa kadar faedah PTPTN itu dihapuskan.

Memorandum itu diserahkan selepas PMIUM menggesa badan-badan kerajaan seperti kementerian itu dan Majlis Fatwa Kebangsaan mengkaji kadar itu menurut hukum Islam.

Jumaat minggu lepas, Persatuan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (PMUPM) menyerahkan memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi bagi mendesak hal yang sama.

Persatuan pelajar itu juga menggesa pinjaman itu ditukarkan kepada biasiswa sepenuhnya atau sebagai 'pinjaman boleh ubah' seperti yang diberikan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS