BERITA

TPM jawab isu jual tanah kepada S'pura

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Ogs 2009, 4:56 pagi

Tan Sri Muhyiddin Yassin kesal dengan tohmahan pembangkang kononnya beliau pernah menjual sebidang tanah kepada Singapura semasa menjadi menteri besar Johor.

NONE Katanya, fitnah itu sengaja dilemparkan kepadanya bagi menaikkan kebencian rakyat kepada beliau dan kerajaan BN.

"Saya ingin menjelaskan bahawa saya (semasa menjadi menteri besar Johor) tidak pernah menjual tanah walau seinci pun kepada Singapura dan ini adalah fitnah semata-mata," kata beliau pada ceramah di Tanjong Putus sempena pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir di Bukit Mertajam malam tadi.

Timbalan perdana menteri berkata pembangkang membuat fitnah itu kerana tidak tahu sejarah sebenar wujudnya sebuah pusat penyelenggaraan air di kawasan Sungai Lingiu di Bandar Tenggara, Johor.

"Saya terpaksa menjawab kerana pembangkang telah membuat fitnah... apa yang berlaku sebenarnya ialah semasa saya menjadi menteri besar, satu hari saya menerima panggilan daripada Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad)," katanya.

linggiu reservoir johor dam 280207 bm

Muhyiddin berkata perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad telah memanggilnya secara mengejut ekoran kunjungan Lee Kuan Yew, perdana menteri Singapura ketika itu, ke Kuala Lumpur untuk berbincang mengenai dua perkara iaitu saluran gas dan bekalan air.

Katanya, dalam pertemuan antara Dr Mahathir, Tun Daim Zainuddin (menteri kewangan ketika itu), Lee dan beliau di Kuala Lumpur itu, perdana menteri Singapura telah mendesak mahukan bekalan air yang cukup dari Johor.

linggiu reservoir johor dam 280207 entrance sign "Lee Kuan Yew sehingga berkata Singapura sanggup berperang jika Malaysia tidak mahu menyalurkan bekalan air yang cukup dan kesal dengan projek saluran air dari Sungai Lingu itu telah lama tergendala.

"Saya menyatakan bahawa kita tidak mempunyai wang dan Lee Kuan Yew berkata Singapura sanggup menganggung semua kos dan setelah siap kelak, bangunan dan harta yang dibina itu adalah milik Malaysia sehingga hari ini, jadi Singapura cuma mengeluarkan wang," kata beliau.

Muhyiddin berkata isu kononnya beliau menjual tanah kepada Singapura sebenarnya adalah satu dakwaan yang bodoh dan dilemparkan oleh orang yang tidak tahu sejarah.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakwaan pembangkang semasa kempen pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir itu.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan