Selepas peristiwa perobohan rumah yang menggemparkan seluruh rakyat Malaysia pada tahun 1974, nasib penduduk Tasek Utara kini masih terumbang-ambing.
Sebahagian daripada mereka tinggal bersama saudara-mara. Kira-kira 15 keluarga pula terpaksa tinggal di rumah Talib di Jalan Tarum, Johor Bahru.
Kerajaan telah menghantar seorang pengawai yang bernama Michael Chang untuk menyelesaikan masalah perumahan yang semakin meruncing di Johor Bahru pada masa itu. Namun, segala wang yang diluluskan oleh kerajaan pusat itu tidak digunakan untuk menyelesaikan masalah perumahan di daerah itu. Sebahagian wang itu digunakan untuk memajukan projek mewah yang mempunyai lebih nilai pasaran.
Tindakan ini menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat dan akhirnya Menteri Besar Johor waktu itu, Datuk Osman Saat terpaksa meluluskan rancangan pembinaan rumah rakyat SEDC (Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor, PKENJ).
PKENJ adalah suatu unit pembangunan ekonomi yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri untuk merancang segala projek pembangunan di Johor. Ia kini dikenali Perbadanan Johor.
Pengagihan rumah rakyat SEDC ini dibuat secara undian. Seramai 24 keluarga Tasek Utara, yang terdiri daripada 20 keluarga Melayu, satu keluarga India dan tiga keluarga Cina memulakan kehidupan baru mereka di situ pada tahun 1977, sebaik sahaja rumah panjang tersebut siap dibina.
Mengikut perjanjian pada waktu itu, penduduk kawasan perumahan SEDC itu diberi masa selama tiga tahun untuk memutuskan sama ada mereka ingin membeli rumah tersebut atau tidak, dengan harga tawaran RM6,000.
Mereka menyewa rumah itu dengan harga RM55.50 sebulan (tidak termasuk bayaran elektrik dan air). Kemudahan bekalan elektrik, air pili serta perkhidmatan pengumpulan sampah disediakan. Mengikut anggaran, kira-kira 999 buah keluarga tinggal di situ pada peringkat awal.
Pada tahun 1980, tibalah masanya untuk penduduk perumahan SEDC itu memutuskan penerimaan tawaran pembelian rumah seperti dalam perjanjian. Penduduk SEDC yang benar-benar ingin membeli rumah, mereka telah mengumpulkan wang dan cuba untuk berbincang dengan pihak SEDC supaya harga rumah dapat diturunkan.
Namun, pihak SEDC mungkir janji dan enggan menjual rumah tersebut kepada penghuni rumah rakyat.SEDC. Sejak itu, penduduk diarahkan supaya tidak lagi membayar sewa. Perkhidmatan pengumpulan sampah juga dihentikan.
Dikecewakan Umno
Setahun selepas itu, penghuni kawasan perumahan itu mendakwa pihak SEDC di mahkamah. Dalam kes itu, mereka menang dan pihak SEDC diarahkan menjual rumah tersebut kepada penduduk. Untuk tujuan itu, penduduk mengamanahkan cawangan Umno di kawasan mereka untuk menguruskan pengisian borang pembelian rumah.
Tetapi parti itu mengecewakan penduduk apabila borang-borang yang siap diisi hilang tanpa memberikan sebarang alasan. Selepas itu, dalam kes mahkamah yang kedua, SEDC pula mendakwa penduduk atas kegagalan mereka menghantar borang permohonan dalam masa yang ditetapkan seperti dalam perjanjian.
Kali ini penduduk kawasan perumahan itu kalah kerana semata-mata kesilapan teknikal yang dilakukan oleh cawangan Umno. Mereka akhirnya mengetepikan parti itu dan menubuhkan Jawatankuasa Penduduk atau JKP.
Selepas gagal di mahkamah, sebilangan penduduk SEDC terpaksa berpindah atau mencari tempat tinggal yang baru. Kerajaan pernah menawarkan rumah murah dan rumah pangsa kos rendah kepada penduduk dari semasa ke semasa untuk mengosongkan tanah yang berharga itu.
Akibatnya, 75 peratus penduduk yang mampu dan berpuas hati dengan tawaran itu berpindah keluar dari rumah rakyat SEDC, sementara selebihnya masih menetap di situ kerana tidak berpuas hati dengan tawaran tersebut.
Kerajaan negeri pernah menawarkan rumah pangsa di Taman Cempeka. Kononnya, rumah yang pada asalnya berharga RM22,000 akan diberikan potongan harga RM5,000. Kerajaan negeri juga berjanji akan menurunkan lagi harga rumah pangsa murah tersebut mengikut sewaan yang telah dibayar oleh mereka sepanjang tempoh tinggal di situ hingga 1980.
Bagaimanapun, janji itu hanya tinggal janji apabila kerajaan negeri menuntut kembali potongan sewaan itu setelah mereka berpindah masuk ke rumah pangsa di Taman Cempeka.
Notis perpindahan yang pertama dikeluarkan oleh SEDC pada 1995. Ia dikeluarkan lagi pada 22 November dua tahun kemudian. Menurut sumber penduduk di situ, cubaan merobohkan rumah pernah dilakukan oleh SEDC sebelum itu tetapi berjaya dihalang oleh mereka.
Menurut notis pada November 1997 itu, penduduk diminta keluar dari rumah rakyat.SEDC selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 1998. SEDC juga cuba memotong bekalan elektrik tetapi berjaya dihalang oleh penduduk setempat kerana tiada perintah mahkamah. Keadaan ini berlarutan sehingga bulan Mac 1998.
Sejarah berulang 19 Mac 1998
Sebelum berlaku kes itu, penghuni telah menerima khabar angi n sehari sebelumnya bahawa operasi perobohan akan dilaksanakan pada 19 Mac 1998. Menyedari hal itu, sebahagian penduduk telah membuat keputusan untuk berada di kampung dan bersiap sedia untuk menghadapi perobohan ini.
Lebih kurang jam 8 pagi, pada 19 Mac, sepasukan pihak berkuasa yang terdiri daripada polis (foto, tengah), anggota polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU), pemaju dan pekerja-pekerja tidak diketahui latar belakang mereka telah hadir di tempat kejadian untuk melaksanakan operasi perobohan secara paksa.
Polis menyekat penduduk daripada keluar dari tempat kejadian dan pada masa yang menghalang orang luar daripada memasuki kawasan rumah rakyat SEDC. Hari tersebut jatuhnya Khamis, maka kebanyakan penduduk telah keluar bekerja.Mereka yang berada di kampung hanyalah sebahagian penduduk yang mendapat tahu peristiwa ini sehari sebelumnya.
Polis mengarahkan pekerja-pekerja operasi perobohan itu memindahkan barangan di dalam rumah-rumah yang sederet dengan rumah Encik Talib. Tindakan ini menyebabkan rasa geram penduduk bertambah. Sebilangan penduduk cuba menyekat tindakan polis dan malah memarahi mereka. Polis akhirnya menangkap penduduk dan menuduh mereka mengganggu proses perobohan rumah.
Sementara itu, sesetengah penduduk pula berkumpul di depan rumah Encik Giman - bekas penduduk Tasek Utara - untuk menghalang operasi itu. Namun tanpa disedari, pasukan peroboh telah dibahagikan kepada dua kumpulan.
Satu kumpulan masih berkumpul di depan rumah Encik Giman, manakala satu lagi pasukan beralih ke rumah Encik Talib. Oleh itu, rumah Encik Talib telah dirobohkan (foto, kiri) tanpa sebarang halangan daripada penduduk kerana kebanyakan mereka masih berkumpul di tempat lain.
Pada ketika itu juga, sebilangan penduduk yang berada di tempat kejadian menghubungi mereka yang keluar bekerja agar balik menyelamatkan rumah masing-masing. Menurut seorang penduduk, Mak Teh, dalam perjalanannya pulang ke rumah, beliau ditahan oleh polis dan kenderaannya dihalang oleh dua buah lori. Setelah bertengkar dengan polis, barulah Mak Teh berjaya balik ke rumahnya.
Selepas pasukan pihak berkuasa itu berjaya merobohkan sebuah rumah, mereka tentunya bercadang merobohkan rumah-rumah yang lain. Sebelum mereka sempat bertindak, Ketua Wanita Umno cawangan rumah rakyat SEDC telah datang dan memberitahu bahawa Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman telah memberikan arahan supaya operasi ini diberhentikan serta-merta.
Kononnya Menteri Besar telah menghantar surat kepada Ketua Eksekutif Perbadanan Johor dan berjaya menyekat operasi ini. Namun tidaklah bermakna mimpi ngeri penghuni di situ berakhir. Kerja perobohan ini sebaliknya ditangguhkan beberapa selepas itu, 30 Mac.
JKP bermesyuarat untuk mengatasi masalah yang sedang mereka dihadapi. Pada masa yang sama, Ketua Wanita Umno itu, Rosnah Jalil cuba menghubungi Menteri Besar untuk diadakan satu pertemuan.
[#1]Halaman 2[/#]
