Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bina sekaligus punca kos PKFZ melonjak
Diterbitkan:  Aug 20, 2009 2:15 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Keputusan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk membangunkan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) secara sekaligus dan bukannya

mengikut fasa merupakan antara sebab kos pembangunannya melonjak daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata keputusan untuk mengeluarkan bon bagi membiayai pembangunan projek berkenaan turut menyumbang kepada peningkatan dalam kos pembangunan tersebut.

"Dari segi pembiayaan, syarikat tersebut mengeluarkan bon. Jadi pada akhirnya kos itu akan ditanggung oleh kerajaan juga.

"Jadi kos mengeluarkan bon itu kalau dibandingkan dengan bon atau pinjaman yang dikeluarkan oleh kerajaan mungkin tidak setinggi itu. Jadi itu isunya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bangunan Jabatan Audit Negara (JAN) cawangan Perak di Meru Raya di Ipoh hari ini.

Beliau berkata Jabatan Audit Negara telah membuat beberapa pemerhatian berhubung pembangunan PKFZ pada beberapa tahun lepas namun pemerhatian itu tidak diberikan perhatian yang sewajarnya oleh LPK.

"Kita melihat bahawasanya untuk membuat PKFZ ini memerlukan satu pelaburan ataupun perbelanjaan yang besar. Jadi isu di sini ialah apakah pihak LPK mampu untuk menjalankannya.

"Kalau tidak mampu apakah langkah-langkah yang sepatutnya diambil. Jadi hal ini sepatutnya dibincangkan bersama agensi pusat seperti Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan sebagainya," katanya.

Ambrin berkata sebagai sebuah badan berkanun, LPK tidak harus lari daripada mematuhi segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan dalam melaksanakan pembangunan PKFZ.

"Kita perlu tahu kita punya tanggungjawab, kita punya had-had kuasa dan apabila kita membuat sesuatu komitmen itu, kita mesti sedar tentang bahawa sekiranya komitmen itu melibatkan perbelanjaan wang awam yang banyak," katanya ketika ditanya pengajaran yang boleh diambil daripada kontroversi yang menyelubungi PKFZ.

PKFZ, sebuah hab pemindahan ke kapal yang dibina atas tapak seluas 405 hektar di Pelabuhan Klang turut menempatkan gudang, blok bangunan dan sebuah hotel empat bintang, diselubungi kontroversi ekoran pendedahan bahawa kos pembangunannya melonjak daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

LPK membeli 400 hektar tanah PKFZ di Pulau Indah daripada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dengan kos RM25 bagi setiap kaki persegi. KDSB kemudian dilantik sebagai pemaju projek berkenaan.

Isu itu mendapat perhatian umum memandangkan LPK memperoleh pinjaman mudah Kementerian Kewangan sebanyak RM4.632 bilion bagi membiayai projek itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat pada persidangan Dewan Rakyat Jun lepas dilaporkan berkata jumlah keseluruhan kos projek PKFZ, berkemungkinan meningkat kepada RM12.453 bilion menjelang 2051, sekiranya tiada sebarang tindakan campur tangan dan daya usaha untuk mempromosikan PKFZ. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS