Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Komik satira politik terulung dalam kelasnya sendiri Gedung Kartun , yang dirampas atas alasan diterbitkan tanpa permit, memuatkan segudang karikatur tokoh-tokoh politik negara, khususnya perdana menteri dan isu yang sering melekat bersamanya – Altantuya dan Mongolia.

NONE Selain memaparkan Datuk Seri Najib Razak mengibarkan bendera negara Mongolia sewaktu menyambut ulang tahun hari kemerdekaan 31 Ogos di muka depannya, majalah "jenaka alternatif" ulung itu juga menyindir isterinya Rosmah Mansor.

Isteri perdana menteri digambarkan sebagai dalang yang menggerakkan wayang kulit berkepala suaminya, selain seorang yang menggunakan khidmat bomoh dan dilabelkan sebagai "Rosmoh."

Setebal 68 halaman, ia juga menggelarkan Najib sebagai "Datuk Nazak", dipercayai singkatan namanya dan bapanya Tun Razak Hussein.

Kartunis yang dikenali Haili menggambarkan Datuk Nazak ini sedang beria-ia menunggu panggilan daripada presiden Amerika Syarikat, Barack Obama tetapi suara di hujung sana rupa-rupanya seorang Altantuya dari Mongolia.

NONE Daripada beberapa karikatur lain, Najib digambarkan memperkudakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sedang menyambung konspirasi 1998 – dipercayai berkaitan kes terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim – dengan konspirasi 2008, dan juga menerima amanat untuk meneruskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) daripada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Majalah dwibulanan yang dipimpin kartunis politik terkemuka Zunar - atau nama penuhnya Zulkiflee Anwar Haque - itu turut mengulas beberapa perkembangan semasa yang panas, termasuk kematian Teoh Beng Hock, rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta demonstrasi menentang ISA.

NONE Tokoh-tokoh politik yang turut dicuit dan diolah: Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Datuk Zaid Ibrahim.

Dua watak, dipercayai Mahathir dan Abdullah, dalam satu halaman komik digambarkan saling mempersalahkan satu sama lain kerana masing-masing gagal menyemak undang-undang kontroversi ISA.

Abdullah berkata, Mahathir gagal berbuat demikian kerana "sibuk kayakan kroni", manakala Abdullah pula gagal kerana "asyik tidur."

Ia juga memuatkan "nostalgia 98", sejarah peristiwa penyingkiran Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri dan kemudian insiden mata lebamnya sewaktu dalam tahanan polis.

Isu pemecatan penasihat PKR itu diulas dengan satu nota pendek yang menyatakan insiden itu tidak menyebabkan perpecahan Melayu, tetapi perpecahan penyokong Umno – ramai di antara mereka meninggalkan parti itu dan menyertai pembangkang.

NONE Gedung Kartun juga mengandungi coretan berbentuk satira politik oleh penulis kreatif lain – termasuk Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan penyair Pyanhabib, kedua-duanya menulis dengan menolak dasar PPSMI

A Samad, yang memimpin demonstrasi menentang dasar itu, dilukis sebagai sedang mengangkat sepanduk bertulis "Jangan C4-kan bahasa kita" di sebelah puisinya Peludah Bahasa .

Selain tiga penulis rencana, ia disokong 12 kartunis sambilan, antaranya Cabai yang sebelum ini terkenal dengan siri "Tiga Dara Pingitan".

Zunar dalam lidah pengarangnya menyebut, kelahiran majalah itu bertujuan "menawarkan kandungan dengan mesej berat yang disampaikan dalam bentuk santai."

Karya-karya dalam terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd, katanya lagi, bukan hanya lucu tetapi juga "turut menyadur mesej yang mengkritik, mengulas, mengolah, memberi informasi dan kesedaran tentang isu semasa."

NONE "Dan yang paling penting, kartunis sendiri harus tampil menzahirkan sikap dan pendirian jelas dalam soal-soal pokok yang berkisar di minda dan bibir masyarakat serta jadi bahan perdebatan dari Parlimen ke warung-warung kopi," pengantar edisi sulungnya dipetik.

Edisi untuk awal September, dicetak 10,000 naskhah, berada di pasaran mulai semalam dan dijual dengan harga RM4 (Sabah dan Sarawak RM5).

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam serbuan mengejutnya pagi ini, di pejabat majalah itu di Brickfields, merampas 408 naskhah Gedung Kartun (foto). [Baca juga: Sindir PM, majalah humor dirampas ]

ADS