Satu siasatan penuh perlu dijalankan bagi menentukan sama ada tentera Sri Lanka telah membunuh dengan sewenang-wenangnya anggota puak penentang Tamil Tiger - satu perbuatan yang melanggar undang-undang antarabangsa, kata seorang penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
"Semua kerajaan bertangungjawab untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap dakwaan seumpama itu," kata pelapor khas PBB, Philip Alston, dalam temubual dengan Reuters.
Beliau mengulas video yang ditayangkan stesen televisyen Channel 4 Britain, yang menunjukkan tentera Sri Lanka membunuh sekumpulan yang tidak bersenjata, tidak berpakaian dan ditutup mata, sewaktu pihak tentera melancarkan serangan terakhir untuk memusnahkan puak penentang Tamil Tiger awal tahun ini.
Kerajaan Sri Lankan menafikan perkara itu dan mendakwa video itu palsu. Alston sendiri mengakui sukar untuk dipastikan sama ada ianya tulen.
Channel 4 pula berkata ia memperolehi video itu daripada satu kumpulan yang dipanggil Wartawan untuk Demokrasi di Sri Lanka.
Alston juga menyarankan supaya siasatan itu dijalankan oleh badan antarabangsa dengan dinaungi oleh PBB bagi menjamin ianya dijalankan secara adil dan bebas.
UN suara kebimbangan
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon belum mengarahkan siasatan dibuat tetapi seorang jurucakap badan dunia itu berkata,nKi-moon memandang serius berkara itu.
"Kami sentiasa memandang berat laporan dan maklumat yang diterima dari pelbagai sumber mengenai pelanggaran serius hak asasi manusia, termasuk berkaitan dengan jenayah perang, kata jurucakap itu, Marie Okabe.
Begitu juga dengan video yang ditayangkan di Channel 4 itu, tambahnya.
