Wanita Keadilan bela ketua Puteri Umno
Keadilan hari ini bertindak membela Ketua Puteri Umno Azalina Othman, yang didakwa oleh sebuah tabloid tempatan sebagai seorang lesbian, dengan menyifatkan laporan itu sebagai serangan yang mengaibkan dan bersifat terlalu peribadi.
Keadilan yang mengamalkan politik baru dan menegakkan prinsip kebenaran dan keadilan, menegaskan bahawa mengaibkan seseorang dengan menelanjangkan hal peribadinya dalam media masa adalah bercanggah dengan prinsip Keadilan, kata Ketua Wanita Keadilan Fuziah Salleh.
Oleh itu, katanya, Wanita Keadilan akan tetap membela seseorang yang teraniaya walaupun individu tersebut merupakan musuh politik Keadilan.
Laporan yang mendakwa Azalina seorang lesbian disiarkan oleh tabloid Perdana Sari .
Tindakan parti Keadilan itu mudah difahami kerana tabloid berkenaan adalah milik Khalid Jafri, penulis buku 50 Dalil mengapa Anwar tidak boleh jadi PM yang diterbitkan sebulan sebelum berlangsungnya mesyuarat agung tahunan Umno pada 1998.
Pada 2 September tahun yang sama, Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno atas dakwaan salahlaku seks sepertimana yang didakwa di dalam buku itu.
Sejarah lama ini, difahamkan, mendorong Keadilan itu untuk membela Azalina secara terbuka kerana Khalid kini dianggap sebagai musuh bersama Azalina dan Keadilan.
Taktik jijik
Sambil mengecam laporan tabloid Perdana Sari itu, Fuziah menegaskan bahawa Khalid sekali lagi menggunakan taktik jijik melalui manipulasi media untuk menyerang individu khusus secara peribadi.
Wanita Keadilan mempersoalkan, adakah kemungkinan berita ini disiarkan demi kepentingan seorang individu lain dan bermotif politik, katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.
Oleh itu, Fuziah menggesa Azalina supaya menjawab dakwaan itu.
Sekiranya berita itu benar, Wanita Keadilan menasihatkan Azalina supaya bertaubat dan meletakkan jawatan serta-merta. Sebaliknya, sekiranya berita itu palsu, maka Azalina harus menyaman tabloid berkenaan, katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Wanita Keadilan, Irene Fernandez, yang turut menghadiri sidang akhbar itu, berkata Khalid sepatutnya mengemukakan dakwaan itu kepada polis atau Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Katanya, adalah penting kaedah dan sistem yang betul digunakan untuk mencari kebenaran kepada tuduhan seumpama itu.
Sehingga ini, Azalina belum menjawab laporan akhbar itu yang mendakwa Azalina adalah seorang lesbian yang disiarkan dalam isu kedua, ketiga dan keempatnya. Laporan dalam isu keempat itu juga menyiarkan gambar seorang datin yang didakwa sebagai kekasih Azalina.
Perdana Sari yang mempunyai permit Kementerian Dalam Negeri (KDN) diterbitkan oleh syarikat Kingdom Journal, mulai 31 Mac lalu.
Peluang menjawab
Rabu lalu, pengarang kanan tabloid berkenaan memberitahu malaysiakini yang pihaknya akan memberhentikan sementara siaran kisah Azalina untuk memberi peluang kepadanya untuk menjawab segala tuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya Azalina gagal berbuat demikian pihaknya akan terus melaporkan perkara itu demi kepentingan orang ramai.
Beliau juga menjelaskan, laporan itu bukan bertujuan untuk memburuk nama baik Puteri Umno, tetapi sebaliknya ditujukan khusus kepada ketuanya Azalina.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now