Duta Besar Indonesia akan memberikan penjelasan mengenai insiden ugutan kumpulan yang dikenali sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) terhadap rakyat Malaysia, khususnya pelajar negara ini yang sedang menuntut di republik berkenaan.
Satu temuramah khas Tan Sri Da'i Bachtiar dengan beberapa media negara ini akan diadakan esok untuk menjelaskan situasi tersebut, kata seorang pegawai di Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur.
Malaysiakini difahamkan, sesi temuramah berkenaan diadakan untuk memberi peluang kepada media Malaysia mendapatkan penjelasan rasmi daripada KBRI berhubung isu 'sapu Malaysia'.
Laporan Bernama kelmarin menyebut kumpulan tersebut telah bertindak liar dengan mengugut rakyat Malaysia dengan buluh runcing di Jalan Diponegoro di Jakarta.
Dilaporkan 50 anggota BENDERA yang bersenjatakan buluh runcing memaksa orang ramai yang melalui jalan itu menunjukkan tanda pengenalan mereka dan jika kebetulannya orang berkenaan seorang rakyat Malaysia maka orang itu akan terus ditahan.
Tindakan mereka itu dilaporkan media massa tempatan termasuk akhbar web popular Detik.com .
Ungkit isu lampau
Bagaimanapun, menurut akhbar web itu, tiada seorang rakyat Malaysia yang kebetulan melalui jalan itu dan tindakan yang dirancang selama sejam itu berakhir hanya selepas setengah jam.
Sebelum ini rumah kediaman yang disewa pelajar Malaysia di Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta dibaling telur busuk oleh kumpulan yang berdemonstrasi - terdiri daripada sekumpulan mahasiswa tempatan kerana marahkan Malaysia yang difitnah sebagai mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali.
Berikutan isu itu, yang terus diapi-apikan media massa tempatan dan dikaitkan pula dengan isu-isu lampau yang diungkit semula, beberapa kumpulan rakyat Indonesia juga berdemonstrasi di depan Kedutaan Malaysia di Jakarta.
Walaupun penafian telah dibuat bahawa Malaysia tidak pernah "mencuri" tarian itu untuk iklan video klip promosi pelancongan negara yang sebenarnya dibuat sebuah syarikat swasta yang berpejabat di Singapura, namun hakikat itu "jatuh ke telinga yang tuli dan mata yang buta".
Jabatan Penuntut Malaysia di bandar itu juga telah mengeluarkan pekeliling kepada pelajar Malaysia di negara itu supaya "berhati-hati" memandangkan kebencian segelintir rakyat negara itu yang semakin memuncak berikutan penyebaran pelbagai fitnah oleh media massanya kebelakangan ini," menurut laporan itu lagi.
Jabatan itu juga menasihatkan pelajar supaya tidak melalui jalan berkenaan untuk mengelak kejadian yang tidak diingini.
Laporan sebuah akhbar tempatan hari ini menyebut, kerajaan Indonesia telah memberi jaminan untuk melindungi keselamatan rakyat Malaysia di republik berkenaan.
Duta beri jaminan
Menteri Luar, Datuk Anifah Aman yang dipetik kenyataannya berkata, Da'i telah menyampaikan jaminan tersebut kepadanya dalam satu pertemuan yang dipanggil olehnya semalam.
"Duta besar Indonesia telah dipanggil hari ini untuk kita sampaikan pendirian Malaysia dalam isu konflik ini selepas mendapati ia menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara," kata Anifah dalam laporan berkenaan.
"Da'i telah menghubungi menteri luar Indonesia dan ketua polis Indonesia yang kemudian memberi jaminan akan melindungi keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia," katanya lagi.
"Kerajaan Indonesia telah diminta mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia di republik itu serta pada masa yang sama membendung tindakan agresif kumpulan ekstremis."
