Rukun muafakat elak sengketa M'sia-Indonesia

   

Dua pertubuhan pelajar Malaysia dan Indonesia hari ini menandatangani lima rukun permuafakatan dan pendirian bersama sebagai panduan dan inisiatif "untuk mencari titik noktah kepada pertikaian dan persengketaan yang telah berlarutan antara kedua negara.

Dua pertubuhan tersebut ialah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang mewakili pelajar Malaysia dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) yang mewakili pelajar Indonesia.

Lima rukun permuafakatan dan pendirian bersama itu dipersetujui dan ditandatangani hari ini oleh Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz dan Ketua UMUM PII, Nashrullah Al-Ghifary.

Lima pendirian bersama itu adalah:

bullet button Menginsafi nilai persaudaraan Islam dan persamaan rumpun Melayu antara rakyat Malaysia-Indonesia dalam berhadapan dengan pelbagai isu yang melibatkan kedua-dua negara.

bullet button Memberi keutamaan kepada pendekatan yang bersifat musyawarah, diplomasi, perbincangan dalam menghadapi sesuatu isu yang melibatkan kepentingan bersama.

bullet button Menjauhi sebarang tindakan yang bersifat emosi semata-mata di mana akhirnya menjurumus kepada kekerasan dan kebuntuan dalam mencari jalan penyelesaian.

bullet button Menyeru generasi pelajar kedua-dua negara untuk memupuk persafahaman yang ampuh dan jitu dalam semua aspek termasuk kebudayaan, idealisme, ekonomi, sosial, keselamatan dan sebagainya.

bullet button Melahirkan generasi pelajar Malaysia-Indonesia sebagai agen penyatu masyarakat kedua-dua negara sekiranya terdapat sebarang konflik terkemudian yang timbul.

Dalam kenyataan bersama hari ini, PKPIM dan PII mengharapkan agar pendirian bersama dua pertubuhan pelajar Malaysia dan Indonesia itu, dijadikan sumber rujukan dalam menghadapan dengan masalah yang timbul.

"PKPIM dan PII bersedia untuk meneruskan wacana perbincangan yang menghubungkan generasi muda kedua-dua negara sebagai pentas untuk mencari titik pertemuan dan persamaan di antara kedua belah pihak," kata kenyataan itu lagi.

Malaysiakini
terkini untuk anda