Nampaknya bukan hanya kanak-kanak sahaja yang sering membuat panggilan palsu ke nombor kecemasan. Pengedar telefon bimbit juga tidak terkecuali melakukan perkara serupa!
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati pengedar telefon bimbit turut menyalahgunakan Perkhidmatan Kecemasan 999 dengan mendail 999 untuk memeriksa status pengaktifan kad SIM baru yang mereka jual.
Sambil memberi amaran kepada pengedar supaya tidak menggunakan perkhidmatan kecemasan itu untuk tujuan ujian, SKMM berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan perkhidmatan berkenaan.
Katanya di sebalik pelbagai kempen dan iklan dalam media cetak serta elektronik yang mengecam mereka yang membuat panggilan palsu, namun kalangan yang nakal itu nampaknya tidak menghiraukannya dan terus mengganggu Pusat Respon Kecemasan Malaysia 999.
Pada Jun sahaja, daripada 1.073 juta panggilan yang diterima oleh pusat berkenaan, 63.84 peratus atau 685,516 adalah panggilan palsu, kata SKMM.
Menurut suruhanjaya itu meskipun peratusan panggilan palsu terus berkurangan, "statistik menunjukkan bahawa penyalahgunaannya masih dianggap tinggi dan memberikan bebanan yang serius terhadap perkhidmatan kecemasan.
"Suruhanjaya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan Perkhidmatan Kecemasan 999, dan mereka sepatutnya hanya menggunakan perkhidmatan itu untuk kes kecemasan dan tidak menafikan hak golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.
"Penyalahgunaan perkhidmatan ini akan mengakibatkan ketidakcekapan yang membawa kepada kehilangan harta benda dan paling buruk sekali, nyawa," kata SKMM, sambil memberi amaran penyalahgunaan perkhidmatan kecemasan adalah kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mereka yang disabitkan kesalahan mengikut akta itu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Sebagai tambahan, SKMM telah mengarahkan semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi supaya mengambil tindakan menggantung dan menamatkan talian yang didapati berulang kali membuat panggilan palsu kepada perkhidmatan kecemasan.
Berikutan itu, sejak Mei tahun ini, 68 talian telefon telah pun ditamatkan manakala 257 lagi digantung.
Oktober lepas, nombor tunggal 999 bagi semua perkhidmatan kecemasan dilancarkan, menggabungkan semua nombor panggilan kecemasan seperti 991, 993 dan 994 bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan kecemasan sama ada daripada polis, jabatan bomba dan penyelamat, hospital dan pertahanan awam.
Perkhidmatan ini disediakan kepada semua perkhidmatan talian tetap dan telefon bimbit, manakala pengguna telefon bimbit juga boleh mendail 112, memandangkan ia adalah nombor kecemasan yang dicadangkan di peringkat antarabangsa untuk perkhidmatan telefon bimbit.
Sementara itu, SKMM menggesa ibu bapa dan penjaga supaya memantau penggunaan telefon di rumah oleh anak mereka. Orang ramai, sebaliknya, juga digalakkan memberi kerjasama kepada suruhanjaya itu dengan melaporkan sebarang penyalahgunaan nombor 999 kepada SKMM.
Aduan dan maklumat berkaitan penyalahgunaan Perkhidmatan Kecemasan 999 boleh dibuat kepada Biro Aduan SKMM dengan menghubungi 1-800-888-030 atau mengirim email kepada [email protected]. BERNAMA
