Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
EGM gugat kedudukan presiden MCA?
Diterbitkan:  Sep 17, 2009 1:23 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Tidak sampai setahun selepas menyandang jawatannya, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat kini berdepan satu lagi "pemilihan" apabila parti itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 10 Okt ini.

Ong mengambil risiko yang besar dengan menerima kesemua lima usul yang dicadangkan oleh penyokong timbalan presiden yang dipecat, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang antara lain, mengusulkan undi tidak percaya terhadap Ong dan mengembalikan semula jawatan Chua.

Presiden parti menghadapi keadaan sukar itu dengan berani, memilih untuk menyerahkan kepada 2,377 perwakilan yang mewakili 900,000 anggota untuk memuat keputusan berhubung kepimpinan beliau berikutan pemecatan Dr Chua kerana skandal video seks.

"Ia satu lagi pemilihan bagi jawatan presiden parti. Begitulah pada pandangan saya," kata sumber dalaman parti kepada Bernama.

EGM itu mungkin membawa beberapa senario, pertama satu pihak akan menang besar, kedua undi tidak percaya terhadap Ong dan ketiga, iaitu paling banyak mendapat perhatian, presiden parti menang dengan majoriti mudah manakala Dr Chua kembali semula kepada parti yang memecat beliau pada 26 Ogos ekoran skandal video seks dua tahun lepas.

Sumber yang sama juga berkata sebarang jumlah undi kurang daripada 60 peratus yang diperolehnya dalam pemilihan parti Oktober lepas akan dilihat sebagai Ong telah kehilangan sokongan dalam parti dan mungkin mengakibatkan beliau mengosongkan jawatannya.

Jika perwakilan meluluskan undi tidak percaya terhadap Ong dan mengembalikan semula jawatan Dr Chua, ia juga berkemungkinan mendorong Ong untuk mengambil keputusan serupa.

"Malah menurut perlembagaan parti, majoriti dua pertiga diperlukan untuk menyingkirkan Presiden. Melihatkan cara Ong, beliau lebih gemar mengaku kalah jika usul itu ditolak hanya dengan majoriti mudah," kata sumber dalaman itu.

"Jika ini berlaku, berdasarkan Artikel 40 perlembagaan parti, timbalan presiden secara automatik menjadi presiden tanpa perlu mendapatkan mandat baru seperti sebelum ini," katanya.

Sebelum perlembagaan parti dipinda pada 1986, timbalan presiden hanya boleh menjadi pemangku presiden dan perlu bertanding jawatan tertinggi untuk menjadi presiden.

Seorang lagi veteran parti menyuarakan kemungkinan pemilihan baru parti diadakan jika ketiga-tiga senario itu berlaku memandangkan keseluruhan anggota Majlis Presiden, yang memecat Dr Chua, akan meletak jawatan.

Meskipun kumpulan Dr Chua menafikan beliau berusaha untuk menjatuhkan Ong, namun penyokong presiden percaya terdapat "elemen terlindung" dalam usul yang akan dibahaskan pada EGM itu bagi merintis laluan untuk mengembalikan semula jawatan beliau serta mempunyai kaitan dengan jawatan presiden parti.

"Memandangkan perwakilan akan mengundi secara rahsia bagi setiap usul yang berasingan, ini boleh menjadi rancangan penyelamat bagi Dr Chua.

"Melainkan perwakilan mengundi beramai-ramai dan tidak memberi sokongan kepada kesemua lima usul itu, ia akan membawa masalah besar kepada Ong," kata veteran itu.

Baki tiga usul lagi ialah untuk membatalkan pemecatan Dr Chua, membatalkan pelantikan mana-mana Timbalan Presiden yang lain dan meminta supaya tiada tindakan disiplin dikenakan terhadap perwakilan yang menyokong gesaan Dr Chua supaya diadakan EGM.

Beberapa pemimpin parti lebih bimbang terhadap kemungkinan timbul kebuntuan jika senario ketiga berlaku.

"Ini akan menyebabkan krisis berlarutan dan kami pula akan kembali semula kepada keadaan asal. Ia sama seperti sebuah perkahwinan, jika kedua-dua pihak tidak dapat berbaik semula, anda tidak boleh paksa," kata seorang pemimpin yang enggan dikenali.

Ong dan Dr Chua masing-masing dipercayai mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus sokongan tegar dan perlu menawan hati baki 40 peratus penyokong neutral atau atas pagar.

Paling getir adalah Selangor, Johor dan Perak yang membentuk lebih 50 peratus perwakilan dengan Selangor mempunyai 431, Johor 418 dan Perak 347.

Bakinya adalah Wilayah Persekutuan yang mempunyai 178 perwakilan diikuti Pahang (176), Kedah (173), Pulau Pinang (149), Sabah (148), Negeri Sembilan (122), Melaka (90), Kelantan (76), Terengganu (43) dan Perlis (27). BERNAMA

ADS