Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) akan menjadi cabaran positif untuk memperbaharui dan memastikan sistem negara yang lebih telus lagi.
"PKFZ merupakan peristiwa hitam dalam sejarah negara, tetapi hasil daripadanya akan menjadi satu cabaran yang positif untuk memperbaharui diri kita sendiri," kata Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Datuk Paul Low hari ini.
Low juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Sementara Pentadbiran dan Tadbir Urus Korporat PKFZ.
"Saya berharap apa yang berlaku dalam PKFZ akan menjadi contoh baik apa yang sepatutnya dilakukan bagi agensi lain dan agensi berkaitan kerajaan.
"Kita tidak boleh membazirkan sumber kita," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan hasil Laporan Rasuah Global 2009: Rasuah dan Sektor Swasta, di Petaling Jaya hari ini.
Menyifatkannya sebagai satu daripada skandal terbesar tahun ini, Low berkata jawatankuasa itu kini sedang mencari tiga pengarah bukan eksekutif bebas untuk menduduki lembaga.
Beliau berkata sifat-sifat peribadi akan menjadi kriteria pertama bagi pengarah, sebelum kecekapan.
"Mereka perlu mempunyai sikap bertanggungjawab dan tidak mempunyai kepentingan diri sendiri," katanya semasa ditanya mengenai kriteria pelantikan.
Calon-calon akan dipilih daripada mereka yang tidak mempunyai hubungan politik tetapi mahu membantu negara dan PKFZ serta mempunyai pengetahuan mengenai industri pelabuhan, katanya.
Mengenai sama ada tempoh beliau dalam jawatankuasa itu akan dilanjutkan, Low menjawab: "Jika perkara masih tidak selesai, saya mungkin meminta lanjutan."
Jawatankuasa itu dijangka mempunyai masa sehingga Januari 2010 untuk menyelesaikan tugasannya. BERNAMA
